Georgie Joseph


MASIH terkejut kehilangan bapa tersayang, anak sulung Allahyarham Roslan Hussin, Muhammad Rusydi Najmi, 21, sedia memikul tanggungjawab menjaga keluarga selepas ini.

Dia berjanji akan memegang amanat arwah yang menyuruhnya menjaga keluarga dan reda dengan pemergian itu.

“Kali terakhir berjumpa ayah adalah pada minggu lalu sewaktu dia mengambil saya pulang dari asrama di Rawang. Ayah masih nampak bertenaga dan boleh memandu jauh.

“Banyak juga yang kami bualkan sepanjang perjalanan.

“Apapun, saya dan adik-beradik akan sentiasa ingat pesannya untuk belajar bersungguh-sungguh serta menjaga emak. Dia mahu kami membanggakan keluarga,” katanya.

Rusydi berkata, adiknya yang dikenali sebagai Ain pernah menyatakan kerisauan namun dia berjanji kepada mereka akan menggalas tanggungjawab jika ayahnya sudah tiada.

“Saya beritahu kepada adik supaya tidak risau disebabkan saya sedia menjadi ketua keluarga jika ayah sudah tiada. Tidak sangka, kini sudah jadi kenyataan,” katanya.

Semalam, pelakon veteran berusia 55 tahun berkenaan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 5 petang.

Jenazahnya dikebumikan pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya.

Arwah aktif mengarah dan berlakon sejak era 1990-an. Antara filem lakonannya termasuklah Layar Lara dan arwah pernah mengarah Prince of the City yang dibintangi Datuk Aaron Aziz.

Awal tahun ini, arwah mendedahkan pergerakannya agak terbatas gara-gara serangan angin ahmar pada tahun lalu.

Arwah juga kerap keluar masuk hospital akibat penyakit jantung sejak tiga tahun lalu.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia produksi, Allahyarham pernah menjadi pelakon bangsawan, aktivis teater, penari selain bekerja dengan sutradara dari British Broadcasting Corporation (BBC), London dan pengarah Hong Kong.

Arwah meninggalkan seorang isteri yang juga suri rumah dan empat anak berusia 10 hingga 21 tahun.

Berita berkaitan

'Roslan Hussin sudah tiada'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 7:31 PM
RUSYDI menyiram air dan menabur bunga di kubur ayahnya, Roslan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. FOTO Eizairi Shamsudin