NABILA tolak tepi kata-kata supaya dia berundur sebaliknya mahu belajar untuk baiki mutu nyanyian. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

BIARPUN bakat nyanyiannya sering dikecam netizen, Nabila Razali tetap optimis memperbaiki kualiti vokalnya.

Kata Nabila, dia mengakui ada banyak kelemahan dalam nya­nyian namun itu bukan penghalang untuk dia terus menghiburkan peminat.

“Saya tahu kemampuan dan karakter vokal saya. Saya tak akan memaksa diri untuk menyanyi lagu yang tidak mampu dibawakan seperti lagu balada atau bernada tinggi.

“Disebabkan itu, saya sering bereksperimentasi dalam setiap lagu baru yang diperkenalkan. Saya gembira dengan pilihan muzik yang ditonjolkan sekarang. Kalau orang terus mempersoalkan kualiti vokal, saya terima dengan hati terbuka.

“Pada masa sama, saya tidak akan mengalah dan mencuba untuk memperbaiki diri dengan mengikuti kelas latihan vokal. Saya tidak mahu berada dalam zon selesa,” katanya.

Kata Nabila, dia tidak melihat setiap kecaman yang diterima sebagai sesuatu yang akan melemahkan semangatnya sebaliknya mahu terus memajukan diri menjadi penyanyi yang disegani.

“Saya tidak boleh menutup mulut orang. Biarlah mereka terus berkata mengenai cara nyanyian saya.

“Apa yang pasti, saya akan terus mencabar diri menjadi seseorang yang lebih baik pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, single terbaru berjudul Vroom Vroom sudah capai lebih dua juta tontonan di YouTube. Ini satu permulaan yang baik dan saya berterima kasih kepada peminat yang selalu menyokong selama ini,” katanya.

Sengaja ditanya andai ada yang mengatakan dia tidak layak berada dalam industri, Nabila dengan tenang menjawab tidak semua orang menyukai dan menerima seseorang penyanyi itu.

“Kalau orang kata saya tidak layak berada dalam industri, saya okey. Selagi menerima tawaran nya­nyian, itu bermakna saya ada tempat dalam industri.

“Kalau berjuta orang tolak supaya berhenti menyanyi namun ada seorang yang mahu saya terus menyanyi, saya akan menyanyi untuknya,” katanya.

Melanjutkan bicara mengenai impian yang ingin dicapai sepanjang berada dalam bidang ini, Nabila berkata dia mengimpikan untuk menggenggam trofi satu hari nanti.

“Setiap penyanyi me­ngimpikan menang trofi, begitu juga saya.

“Saya pernah rasa mahu mengalah kerana terlalu memikirkan apa orang kata. Memang sedih dan kecewa ketika itu kerana bukan mudah untuk puaskan hati orang.

“Tapi saya belajar satu perkara iaitu tidak boleh puaskan hati semua orang tapi apa yang boleh saya lakukan hanyalah terus memperbaiki diri dan pada masa sama buat apa yang termampu,” katanya.

Nabila yang kini berada di Tanah Suci Makkah berharap urusannya dipermudahkan dan mendapat umrah yang mabrur.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah silap sepanjang perkenalan ini.

“Saya mohon doa anda semua semoga dipermudahkan umrah saya kali ini. Semoga saya memperoleh umrah yang mabrur, Insya-Allah,” katanya yang berlepas ke Makkah, Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 8:36 AM