AZMEER (gambar kecil) nafi suara artis kemek dituju kepada Sufian Suhaimi. FOTO Arkib NSTP
AZMEER (gambar kecil) nafi suara artis kemek dituju kepada Sufian Suhaimi. FOTO Arkib NSTP
Syanty Octavia Amry


KOMPOSER Azmeer menafikan dakwaan yang dia menyatakan suara artis kemek itu ditujukan kepada penyanyi Sufian Suhaimi.

Azmeer menerusi satu komen di Facebook milik bekas Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil berkata, kenyataan itu diberikan secara umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana artis yang terbabit pada malam Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33).

“Saya beri kenyataan itu secara general (umum) dan tidak pernah sama sekali ditujukan kepada sesiapa termasuklah Sufian.

“Tidak mungkin suara Sufian saya rujuk sebagai 'kemek' kerana kami selaku juri sudah sebulat suara memberikan anugerah Persembahan Terbaik kepada Sufian dicampur dengan undian peminat.

“Anugerah itu juga mengambil kira elemen seperti nyanyian, ‘feel’ dan corak persembahan. Kalau suara Sufian betul kemek macam mana dia boleh menang Persembahan Terbaik?,” tulisnya.

Menurutnya, dia dan juri bukan membuat kerja sambil lewa dan setiap keputusan adalah keputusan majoriti dengan mengambil kira segala aspek daripada peringkat pra penjurian lagi dan ditambah persembahan secara langsung pada malam itu.

“Malam itu Sufian sangat bagus dan persembahannya memang ‘power’. Walaupun saya ada cakap ada komposer yang nak berkarya dan menyanyi tapi suara kemek, ia adalah nasihat dan tips secara am kepada semua bakat pencipta dan artis baru di luar sana.

“Saya terkejut apabila kenyataan saya diputar belit oleh segelintir pihak sehingga menjurus kepada Sufian,” katanya.

Azmeer berkata, berikutan laporan itu dia menerima kecaman teruk daripada netizen.

Terdahulu, Azmeer membuat penjelasan berkenaan selepas pihak pengurusan Sufian tidak berpuas hati berikutan terdapat laporan yang menulis kenyataan Azmeer mengenai suara kemek dipersembahkan oleh Sufian pada AJL33.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 4:58 PM