MAWAR dan Raf buka Instagram untuk anak sebagai diari kehidupan masa kini. FOTO Arkib NSTP
MAWAR dan Raf buka Instagram untuk anak sebagai diari kehidupan masa kini. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Mawar Rashid, 24, kini sudah membuka akaun Instagram untuk anaknya yang dijangka dilahirkan pada pertengahan Mac depan.

Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata, akaun Instagram itu akan digunakan sebagai diari anaknya untuk dikongsikan dengan peminat.

“Saya dan suami akan membuka akaun Instagram untuk anak kami. Namun, ia belum ‘public’ lagi. Insya-Allah, apabila sudah bersalin kelak, saya akan kongsikan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mawar, dia dan suami membuat keputusan bagi membuka akaun Instagram itu untuk mengikut peredaran zaman.

“Bagi kami, ini untuk memudahkan anak apabila mereka sudah membesar kerana dalam zaman moden seperti hari ini, ramai menggunakan Instagram sebagai diari.

“Jadi, dari situ, kami dapat berkongsi proses tumbesaran anak,” katanya.

Mawar dan suaminya, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf juga memberitahu bahawa mereka tidak akan mengadakan majlis ‘baby shower’ seperti yang sering dilakukan oleh selebriti tanah air.

“Saya sendiri pun tak larat dan tak cukup tenaga untuk mengadakan majlis ‘baby shower’. Jadi, saya dan suami merancang untuk berikan lebih perhatian kepada majlis akikah kelak.

“Kami akan lebihkan adat kita dan kongsikan jantina bayi pada hari kelahiran nanti,” katanya.

Ini adalah cahaya mata pertama hasil perkahwinan Mawar dan Raf selepas disatukan pada November 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 4:55 PM