Ridzuan Abdul Rahman


“SAYA ucapkan terima kepada mereka yang banyak bagi sokongan moral serta mendoakan kebaikan buat kami anak-beranak.

“Tak lupa ramai juga yang bagi panduan dan pendapat untuk membantu saya. Mungkin ini bahagian saya, mempunyai anak yang hiperaktif,”.

Kata pelakon Zarina Zainuddin, 49, mengulas berkenaan video yang dimuatkan di laman Instagram miliknya berkaitan anaknya, Azil yang mengamuk dan menghentak bahunya.

Video yang memaparkan Azil mencederakan dirinya sendiri serta Zarina menangis mendapat perhatian ramai netizen termasuk rakan artis yang bersimpati dan memintanya tabah serta bersabar melayani kerenah anak istimewanya.

Zarina berkata, dia bukanlah berniat mahu mengundang simpati daripada mana-mana pihak, namun sebaliknya menganggap Instagram adalah saluran yang sesuai untuknya berkongsi pengalamannya mengendalikan anak autisme.

“Azil dah berusia 23 tahun. Tenaganya muda dan input tenaganya banyak. Dia tengah aktif dan mungkin kurang aktiviti. Saya kena buat satu aktiviti supaya dia ada sesuatu untuk dibuat dan tak rasa bosan di rumah,” katanya kepada Harian Metro.

Zarina menulis di Instagram, Azil naik angin kerana mahu mengikut kembarnya, Muhammad Raizal Azrai atau Azal ke gimnasium.

"Dia nak ikut Azal pegi gym (gimnasium), dia berlari keluar kereta, saya kejar dia panggil dia masuk kereta balik mengamuk nak ikut Azal.

"Doktor ada bagi dia ubat tapi saya tak sanggup nak bagi dia ubat pagi-pagi kasihan dia kesan ubat tu dia tak bermaya.

"Risiko anak autisme bila besar tenaga dia kuat, bila tiada aktiviti dia jadi hiperaktif," tulisnya.

Dalam satu lagi video, Zarina menulis, "Sakit kena tanggung sendiri. Sakit bahu saya 3 kali kena hentak. Sabar la Azil masa ibu ada ni ibu ikutkan je lah esok kalau ibu dah tak ada. Mudah-mudahan Azil pandai jaga diri,".

Menurut Zarina, dia tidak pernah membiarkan Azil keluar bersendirian kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

“Dia anggap dirinya dah besar dan nak bebas. Tapi memang tak boleh kerana perlu ada pengawasan. Kalau keluar ke pusat membeli belah pun saya yang bawa dan pantau dia.

“Kadangkala dia lari masuk kedai jual CD (cakera padat), kalau masuk kedai 7eleven dia akan ambil akhbar Harian Metro dan beberapa akhbar lain.

“Dalam satu hari saya kena beli Harian Metro dan akhbar lain sebanyak tiga kali. Dia akan tengok di rumah dan selepas itu dia koyakkan, masuk dalam plastik dan buang,” katanya.

Zarina menjelaskan Azil akan memujuk dirinya selepas keadaan kembali tenang dan terkawal selepas itu.

Katanya, dia tidak memaksa netizen untuk mengikuti ceritanya dan jika tidak berkenan mereka boleh berhenti mengikutinya.

“Apapun, tujuan saya sebenarnya adalah untuk menyuntik kesedaran masyarakat terhadap autisme,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:51 PM
ZARINA kongsi pengalaman urus anak austisme dengan orang ramai. FOTO Arkib NSTP