UQASHA tidak mahu masyarakat mengaitkannya dengan Emma apabila tidak lagi bertudung. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Amirul Haswendy Ashari


"MENGAPA pula dikaitkan dengan saya? Itu urusan dia dan tidak kena mengena dengan saya," kata Uqasha Senrose, tatkala diminta memberi komen mengenai tindakan pelakon Emma Maembong yang mengambil keputusan untuk tidak lagi bertudung minggu lalu.

Pelakon jelita berusia 26 tahun itu meminta masyarakat untuk 'berhusnuzon' (bersangka baik) dengan keputusan dibuat Emma.

"Tindakan segelintir masyarakat mengaitkan saya dengan keputusan dibuat Emma adalah mengarut.

"Kalau benar dia belum bersedia janganlah kita cuba memaksa dan doakanlah yang baik semoga segala urusannya dipermudahkan," katanya.

Uqasha yang ditemui pada pelancaran sebagai wajah terbaru produk kecantikan C-Clean Pearl di ibu negara petang tadi mengakui terkejut apabila segelintir pihak menyalahkan dirinya kerana memulakan 'trend' itu.

Sebelum ini, dia pernah menimbulkan kontroversi apabila mengambil keputusan untuk tidak bertudung pada 2016 selepas tiga tahun mengenakannya.

Disebabkan itu, ada dakwaan mengatakan ia sekali gus membuka ruang kepada pelakon yang baru bertudung untuk membukanya.

"Saya tidak tahu nak jawab macam mana tapi bagi saya, itu pilihan hidup orang lain dan janganlah kaitkan dengan saya kalau orang lain tidak bertudung.

"Keputusan dibuat Emma tidak kena mengena langsung dengan saya dan diakui sehingga sekarang, orang akan tetap bercakap mengenainya," katanya.

Pelakon filem Hantu Kak Limah itu tidak mahu individu sekadar bertudung, malangnya perbuatan dan sikap pula tidak melambangkan imej suci Islam.

Uqasha berpendapat, Emma ialah seorang wanita yang kuat dan mampu menghadapi ujian itu.

"Setiap manusia dihujani ujian yang berlainan, begitu juga saya sendiri," katanya.

Minggu lalu, dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan keputusan Emma tidak lagi bertudung selepas lima tahun mengenakan tudung.

Tindakan Emma itu berlaku seminggu selepas muncul foto kontroversi yang tular dan mengaitkan dia dengan abang seorang menteri kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 10:08 PM