JUMLAH pelanggan ke pasar raya berkenaan makin bertambah. FOTO/NSTP
Amirul Haswendy Ashari


SELEPAS insiden digelar ‘barua Cina’ oleh segelintir individu kerana bekerjasama dengan syarikat Sri Ternak Group milik Datuk Ho Ah Chai melalui perniagaan pasar raya ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor akui jumlah pelanggan ke pasar raya itu semakin bertambah.

“Selepas insiden Januari lalu semakin ramai pula yang menyedari kewujudan pasar raya ini dan datang untuk membeli-belah.

“Malah, selepas PRU (Pilihan Raya Utama) lalu ada yang kata nak boikot sebelum pasar raya dibuka namun dengan kuasa tular, ia membantu lebih ramai yang datang. Genap enam bulan dibuka, timbul pula isu ini,” katanya.

Rosyam ketika ditemui berkata, dia percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya selain membuktikan namanya masih relevan sehingga ke hari ini.

Dia juga berharap usahanya memperkukuhkan nama dalam bidang perniagaan menjadi inspirasi kepada anak muda untuk berjaya.

“Saya mahu mereka jadikan saya inspirasi yang berusaha melakukan anjakan ekonomi daripada seorang anak setinggan kepada ahli perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:18 PM