MILLER tidak sabar tunggu tayangan Hide & Seek Minako di sini. FOTO - Miller Khan.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Miller Khan tidak sabar menunggu tayangan filem seram lakonannya, Hide & Seek Minako, di negara ini bermula 28 Februari ini.

Miller, 32, atau nama sebenarnya Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan berkata, filem itu adalah bukti kematangannya sepanjang lebih 10 tahun bertapak sebagai di sana.

“Tahun lalu filem lakonan saya Rasuk ditayangkan di Malaysia, tetapi saya dan pelakon lain tidak dibawa untuk membuat promosi di sini.

“Bagi filem Hide & Seek Minako ini, saya teruja kerana pertama kali akan turun padang bagi mempromosikan filem ini pada malam gala sekali gus berjumpa peminat dan media Malaysia pada 25 Februari ini.

“Saya tidak sabar menunggu maklum balas daripada peminat yang selama ini selalu bertanya bila saya akan datang bersama produk lakonan,” katanya.


SUDAH 10 tahun bertapak di Indoensia. FOTO - Halimaton Saadiah Sulaiman.

Miller berkata, dia juga berharap peminat filem tempatan dapat menerima baik filem adaptasi novel yang menggunakan judul Petak Umpet Minako itu.

“Di Indonesia, filem ini sudah ditayangkan pada September 2017 dengan judul Petak Umpet Minako dan sambutan diterima sangat menggalakkan.

“Jadi, apabila diberitahu filem ini bakal masuk pawagam Malaysia saya berasa ia sesuatu yang menarik. Bagi saya, ini peluang keemasan untuk peminat melihat sendiri hasil lakonan saya.

“Walaupun perlu bersaing dengan filem tempatan lain, saya percaya filem ini mampu menarik perhatian penonton datang ke pawagam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 4:19 PM