MAMAT Khalid masih perlu berehat di hospital. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“KEADAAN abang Mamat semakin beransur pulih sekarang dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan lagi selepas 22 hari dirawat di hospital.

“Namun, doktor belum merancang untuk memindahkannya ke wad biasa kerana masih memantau perkembangan kesihatannya di Unit Rawatan Koronari (CCU),” kata isteri pengarah popular, Mamat Khalid, 56, iaitu Hasmah Hassan mengenai perkembangan terkini suaminya yang kini dirawat di pusat perubatan di Petaling Jaya, ketika ini.

Menurutnya, doktor juga belum memberitahunya dan keluarga bila Mamat akan dipindahkan ke wad biasa atau keluar dari hospital.

“Sebenarnya, doktor juga mahu abang Mamat berehat lebih lama di hospital.

“Maklumlah, bila orang ramai dan kenalan datang melawat abang Mamat di hospital, dia menjadi sangat teruja hingga jantungnya bergerak laju dan tekanan darahnya juga tinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Hasmah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Intan, doktor juga meminta Mamat lebih banyak tidur dan berehat supaya kesihatannya cepat pulih.

“Saya juga diminta pulang ke rumah oleh jururawat bila tekanan darah abang Mamat naik semalam untuk membolehkannya berehat tanpa gangguan.

“Doktor juga tahu abang Mamat memang kuat bekerja sebab itu dia suruh berehat lebih lama sebelum kembali berkarya,” katanya.

Terdahulu, Mamat yang popular dengan siri filem Hantu Kak Limah dan Rock dilaporkan dalam keadaan kritikal pada 25 Januari lalu akibat masalah paru-paru dan jantung.

Bagi memastikan jantungnya kembali stabil, pakar perubatan merehatkan pengarah terbabit selama 48 jam dengan memberikan dos ubat yang membolehkannya tidur.

Sebelum ini, bapa lima cahaya mata itu pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sekitar 2017 kerana sesak nafas selepas majlis tayangan perdana filem arahannya, Lebuh raya Ke Neraka.

Tiga tahun sebelumnya, Mamat pernah menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat kerana masalah jantung.

Berita berkaitan

'Mamat Khalid dah separuh sedar'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 3:39 PM