ADY enggan lagi dikaitkan dengan Ukays. FOTO Mahzir Mat Isa
ADY enggan lagi dikaitkan dengan Ukays. FOTO Mahzir Mat Isa
Ridzuan Abdul Rahman


BEKAS penyanyi kumpulan Ukays, Ady mendakwa hanya menerima bayaran ‘ciput’ sebagai upah menyanyikan lagu popular kumpulan itu, I Love You I Miss You yang kini mendapat tontonan lebih 10 juta peminat.

“Amy sebelum ini keluarkan kenyataan bahawa saya hanya penyanyi undangan Ukays. Saya tak nak cakap banyak tapi nak minta hak royalti terhadap lagu ini.

“Apabila tontonan YouTube mencapai jumlah 10 juta, kena minta bahagian saya.

“Kenalah bayar yang sepatutnya. Takkanlah saya hanya dapat sekitar RM10 saja. Saya amat berharap dia buat pembayaran dengan baik,” katanya kepada Harian Metro.

Ady atau Abdul Hadi Abdul Hamid, 23, yang kini mahu dikenali sebagai Ady Real Band juga mengakui tidak mengetahui butir perbincangan antara Amy, ketua kumpulan Ukays dan syarikat rakaman Dua Karya berhubung pembayaran untuknya.

“Saya adalah artis Dua Karya yang bekerjasama dengan Amy. Namun langsung tidak dimaklumkan butir perbincangan antara mereka berkenaan hak saya.

“Saya tak tahu apa-apa dan hanya ikut arahan. Saya fikir itu boleh mengubah nasib saya, tapi perkara yang sama juga berlaku.

“Saya penyanyi kumpulan Ukays dan sepatutnya perlu tahu apa ‘deal’ dan perjanjian antara mereka. Banyak yang saya tak tahu,” katanya.

Menurutnya, Dua Karya dan Ukays Records hanya berbincang atas budi bicara tanpa sebarang perjanjian hitam putih.

“Saya keluar Ukays pun bukan sekali kerana ia berlaku secara ‘on and off’. Peminat selalu tanya kenapa saya kerap keluar masuk Ukays tapi ia berpunca kerana soal bayaran.

“Ketika bersama Dua Karya, Amy menghubungi syarikat itu untuk melamar saya bersama mereka.

“Lagu I Love You I Miss You adalah nyanyian saya dan muzik videonya ada muka saya. Itu mendorong saya bertindak terhadap lagu ini,” katanya yang kini sudah tamat kontrak bersama Dua Karya.

Ady menjelaskan, dia tidak mempunyai masalah dengan Amy, namun hanya mahukan haknya terhadap lagu itu.

“Sejujurnya selama empat tahun dengan Ukays, saya hanya pernah dapat sekitar RM200 hingga RM300 saja untuk menyanyi.

“Baik dengan kumpulan atau minus one, itulah saja yang saya dapat. Paling tinggi pun RM500.

“Penganjur beritahu buat pembayaran yang agak lumayan, tapi Amy pula beritahu jumlah berbeza, Di situ sudah nampak tiada kejujuran di pihaknya,” katanya.

Menjelaskan pengalaman bergelar artis Dua Karya pula, Ady berkata, selama dua tahun bersama mereka, dia hanya mendapat tiga undangan menyanyi.

“Saya ingatkan masuk Dua Karya dapat merubah nasib, tapi perjalanan ceritanya sama saja.

“Saya enggan kenang kisah lalu dan kini mahu peminat mengenali saya sebagai Ady Real Band dan bukan lagi Ady Ukays.

“Anggota lain ialah Azren (bass), Daus (gitar), Atan (keyboard) dan Aiman (dram). Kami akan tampil dengan album mini pada April nanti,” katanya.

Sementara itu, pengurus Peribadi Ady, Muhd Fazely Muhd Rasul memberitahu, dia bertindak menarik Ady keluar daripada Ukays kerana tahu masalah yang dihadapi.

“Saya tahu perkara ini dan pilih Dua Karya untuk dia bernaung tapi tak sangka sama juga nasibnya.

“Amy pula seakan-akan tidak berpuas hati apabila Ady menyanyikan lagu ini bersama kumpulan barunya dalam persembahan mereka.

“Dia nampak Ady seolah-olah ambil kesempatan terhadap lagu yang tular ini. Dia lupa bahawa penyanyi asalnya ialah Ady dan peminat mahu mendengar nyanyiannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 10:32 PM