ZARA Zya beri masa tiga hari kepada penulis untuk padam artikel dan mohon maaf. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Zara Zya, 34, akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak menerima permohonan maaf daripada penulis blog yang menimbulkan fitnah terhadapnya.

Zara ternyata kecewa dengan tindakan seorang penulis blog yang memuat naik artikel dengan judul 'Hari kekasih kantoi leher Zara Zya penuh love bite?' melalui blog KAMI di Facebook yang boleh menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

Sehubungan itu, Zara memberi masa tiga hari bermula hari ini kepada penulis blog itu untuk memadam muat naik itu serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Zara ketika dihubungi berkata, tajuk blog itu menimbulkan fitnah ke atasnya sekali gus memberi kesan buruk sehingga ada peminat yang memberitahu akan berhenti menyokongnya.

“Disebabkan tajuk blog itu, ada peminat meluahkan rasa kecewa kepada saya sehingga ada yang ingin berhenti menyokong serta berhenti mengikut di Instagram dan sebagainya.

“Saya tak salahkan mereka kerana terpedaya dengan fitnah itu, tapi salahkan sikap penulis blog yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Sejak dia memuat naik kenyataan supaya penulis blog itu membuat permohonan maaf secara terbuka pagi hari ini, Zara belum menerima sebarang jawapan.

“Saya tahu mengenai perkara ini sejak tiga hari lalu apabila ada peminat yang memaklumkan kepada saya. Selepas mendapat nasihat peguam Datuk Hifdzi Hamzah, saya muat naik kenyataan di Instagram pagi tadi.

“Namun, sehingga kini belum ada sebarang jawapan atau tindakan daripada pihak penulis blog itu,” katanya.

Zara turut mengingatkan penulis blog lain supaya tidak mengambil kesempatan terhadap orang lain untuk kepentingan sendiri.

“Tentu akan ada netizen yang melayari laman blognya sekali gus membolehkan dia menjana pendapatan daripada fitnah yang dilemparkan kepada orang lain. Itu memang kurang ajar,” katanya.

Terdahulu, Zara memuat naik kenyataan kepada penulis blog terbabit dan memberi masa selama tiga hari untuk penulis memadam artikel fitnah itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sekiranya tiada sebarang tindakan daripada penulis blog terbabit, dia akan mengambil tindakan undang-undang.

Berita berkaitan

'Tak padam dalam masa tiga hari, Zara Zya saman!'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 6:03 PM