KUMPULAN In-Team harap Suhaimi terima pendapat orang ramai. FOTO Amirul Haswendy Ashari
KUMPULAN In-Team harap Suhaimi terima pendapat orang ramai. FOTO Amirul Haswendy Ashari
Amirul Haswendy Ashari


"KALAU kita buka hati, pasti boleh terima pendapat orang," kata ahli kumpulan nasyid In-Team, Mohd Syahril Abdul Khalid atau Syah susulan kontroversi menimpa bekas ahli mereka, Suhaimi Saad.

Ketika ditemui selepas pelancaran penjenamaan Radio IKIM hari ini, Syah berkata, prinsip mereka selama ini adalah buang yang keruh dan ambil yang jernih.

"Kalau tetap mahu bertegas dengan cara kita juga, sebaiknya simpan untuk diri sendiri saja dan tidak perlu menghebahkan kepada umum.

"Lebih-lebih lagi apabila membabitkan anak dan isteri. Paling kami risau ialah nasib anaknya jika dia tiada nanti," katanya.

Katanya, In-team sangat berharap rakan mereka itu dapat memperbaiki fahamannya dan bersikap terbuka kepada pandangan masyarakat.

Syah mengakui ada berhubung dengan Suhaimi, cuma secara peribadi dia berharap ada pihak luar yang bersuara.

"Nampaknya perkara ini sudah pun disuarakan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

"Dia (Suhaimi) sudah pun respon tapi nampaknya masih bertegas dengan pendirian sendiri," katanya.

Walaupun Suhaimi sudah berstatus bekas ahli, kumpulan nasyid itu mengakui isu yang berlaku serba sedikit turut terpalit pada mereka.

Mereka juga dalam nada tegas tidak bersetuju dengan fahaman dan kenyataan dibuat Suhaimi sejak akhir-akhir ini.

"Sebab itulah kami ambil pendekatan untuk mendiamkan diri saja dan kalau nak berdebat pun, tiada apa yang perlu diperdebatkan pun," katanya.

Mereka turut akur dengan keputusan penganjur 'merehatkan' Suhaimi daripada menyertai Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM yang bakal berlangsung di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 20 April ini.

Pun begitu mereka tetap bersedia jika dijemput untuk menyanyikan bersama bekas ahli mereka itu pada masa depan.

"Cuma apabila banyak kecaman dan dia mendatangkan keburukan kepada penganjur dan penganjur pula ambil keputusan untuk merehatkan dia, jadi kena terimalah.

"Tapi untuk konsert kami sendiri, buat masa ini tiada keperluan untuk dia bersama melainkan ada permintaan," katanya.

Sebelum ini, Suhaimi pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan mengelirukan sehingga mengundang kecaman warganet.

Malah, beberapa selebriti, ilmuwan dan agamawan tempatan sudah pun memberi pelbagai respon serta menasihati Suhaimi supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 8:38 PM