BARISAN artis nasyid berkumpulan antaranya , Hijjaz, Inteam, Unic, Mestica dan Hafiz Hamidun sempena majlis pelancaran Konsert Amal 4Nomena di Mutiara Damansara. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
BARISAN artis nasyid berkumpulan antaranya , Hijjaz, Inteam, Unic, Mestica dan Hafiz Hamidun sempena majlis pelancaran Konsert Amal 4Nomena di Mutiara Damansara. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

WALAUPUN pelbagai genre muzik mewarnai industri muzik tempatan, nasyid dilihat masih mendapat permintaan tinggi dan kekal relevan walaupun ada ketikanya mengalami zaman suram.

Barangkali aura kehebatan yang dimiliki setiap kumpulan nasyid membuatkan genre ini kekal utuh dan menjadi pujaan ramai.

Bagi mengubat kerinduan peminat, KGM Event dengan kerjasama Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tampil menganjurkan Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM yang menggabungkan barisan artis nasyid popular yang pernah bernaung di bawah satu bumbung iaitu Hijjaz, In-Team, Mestica dan UNIC.

Ia sebagai tanda penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bahagi peminat sejak tertubuhnya Hijjaz Records pada 1997.

Konsert bertemakan Terima Kasih itu berlangsung pada 20 April ini, jam 8.30 malam di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan UIAM.

Pengarah KGM Event, Mahmud Fahrurrazey berkata, pihaknya percaya genre nasyid masih relevan dan bersifat malar segar kerana mempunyai kelompok peminat tersendiri.

“Menyusuri sejarah kegemilangan genre nasyid yang pernah mencetuskan fenonema luar biasa pada penghujung 1990-an, Hijjaz adalah antara pelopor yang memperjuangkan lagu berunsurkan dakwah, kerohanian dan ketuhanan secara komersial selain Raihan serta Rabbani yang dikenali terlebih dulu.

“Kami berharap

konsert penyatuan ini bakal berlangsung dalam suasana gemilang seperti yang dirancang,”

katanya.

Lebih menarik, konsert terbabit turut menjemput kembali bekas anggota kumpulan nasyid yang kini bergerak solo seperti Fitri Haris (UNIC), Hafiz Hamidun (UNIC) dan Fadzli Aziz (UNIC).

“Jemputan khas ini bertujuan merancakkan lagi konsert amal ini. Kami percaya konsert ini lebih meriah dengan kehadiran mereka. Selain itu, konsert ini juga bakal disajikan dengan persembahan istimewa daripada juara Maharaja Lawak Mega 2014 iaitu kumpulan Zero,” katanya.

Harga tiket murah

Melihat kepada harga tiket konsert terbabit bermula RM15 hingga RM60, ramai beranggapan ia terlalu rendah, sekali gus akan menjatuhkan genre muzik nasyid yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dulu.

Mahmud berkata, pihaknya bukan sengaja meletakkan harga sedemikian, tetapi melihat kepada khalayak sasaran pada konsert terbabit.

“Sebahagian hasil kutipan jualan tiket konsert ini bakal disalurkan kepada tabung bantuan untuk meringankan beban pelajar UIAM yang kurang berkemampuan. Ia turut disumbangkan kepada dana sosial yang digerakkan Kengkawan Project.

“Harga itu masih rasional. Misi kami adalah untuk memastikan tiket konsert ini habis dijual. Tiada istilah menjejaskan pasaran muzik nasyid, tetapi khalayak sasaran kami untuk konsert terbabit adalah pelajar universiti itu dan turut terbuka kepada pihak luar.

“Kami harap dengan harga tiket yang sedemikian ramai penggemar muzik nasyid akan datang memeriahkan konsert amal ini. Dewan ini boleh memuatkan hampir 3,000 penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 8:35 AM