FARAH Nabilah mengakui gementar ketika menggantikan Neelofa mengendalikan program MeleTop bersama Nabil. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ramlah Zainal

“SAYA tidak kisah kecaman orang kerana sudah lali dengan komen negatif sejak dulu.

“Saya juga terima tawaran sebagai hos program MeleTop bukan kerana mahu bersaing dengan Lofa tetapi sekadar mencabar kebolehan diri,” kata pelakon popular Farah Nabilah ketika mengulas kecaman netizen ketika dia menjadi hos program MeleTop malam tadi bersama pengacara Nabil Ahmad kerana menggantikan Neelofa yang bercuti.

Menurut Farah, dia mengakui dirinya gementar ketika mengendalikan program MeleTop bersama Nabil.

“Saya ditawarkan penerbit program tanpa sempat membuat latihan terlebih dulu.

“Saya juga tidak tahu sebagai hos, perlu spontan dan tidak mengikut skrip.

“Pada masa sama, saya bimbang tersalah cakap kerana artis undangan juga pelakon berpengalaman seperti Datuk Afdlin Shauki,” katanya ketika ditemui pada sidang media Mini Showcase, Farah Nabilah & Friends, Misi Kemanusian ADRF Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dia dapat menimba pengalaman berharga ketika menjadi hos gantian program MeleTop itu.

“Memang saya ada baca komen netizen yang bandingkan dengan Lofa tetapi tidak kisah pun.

“Saya sekadar mencuba dan untuk memeriahkan program MeleTop saja.

“Saya juga tidak menolak jika ditawarkan sebagai hos gantian lagi selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 6:50 PM