FLOOR 88 nafi sombong dan memilih persembahan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
FLOOR 88 nafi sombong dan memilih persembahan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ardini Sophia Sina

GARA-GARA menolak beberapa tawaran menyanyi, kumpulan Floor 88 yang popular dengan lagu Zalikha dituduh semakin sombong dan bersikap memilih persembahan tertentu.

Bagaimanapun, vokalis kumpulan itu, Ayie Elham menafikan dakwaan itu dan menjelaskan penolakan itu adalah disebabkan komitmennya sebagai penuntut.

“Ketika masih bergelar penuntut, memang saya sibuk dengan jadual kuliah. Oleh itu, ada beberapa tawaran menyanyi yang kami terpaksa tolak kerana saya tidak dapat turut serta.

“Disebabkan perkara ini, timbul cakap-cakap orang yang mengatakan kononnya kami semakin sombong, lupa diri dan memilih. Bagaimanapun, kami tidak boleh tutup mulut orang dan abaikan saja perkara seperti itu,” katanya.

Baru saja selesai pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Ayie turut mengakui rasa bersalah setiap kali menolak tawaran.

Namun, vokalis itu lega kerana rakan sekumpulannya memahami dan tidak pernah menyalahkannya.

“Setiap kali ada tawaran yang ditolak, saya pasti akan rasa bersalah kerana itu adalah punca pendapatan kami dan disebabkan saya, mereka tidak kehilangan sumber kewangan.

“Tetapi, sangat berterima kasih kepada anggota kumpulan yang sangat memahami komitmen saya sebagai penuntut. Malahan, mereka juga tidak pernah menyalahkan saya,” katanya.

Kumpulan Floor 88 mulai mendapat perhatian selepas ‘meletup’ dengan lagu Zalikha pada 2017.

Selain Ayie, kumpulan itu turut dianggotai oleh Achoi sebagai pemain gitar utama, Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 7:23 PM