ROSSA sanggup kosongkan jadual semata-mata mahu menyaksikan Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour. FOTO Instagram Siti Nurhaliza
Sudirman Mohd Tahir


“SUARA Siti memang hebat. Konsert dan Siti sendiri sangat luar biasa,” kata penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa mengenai Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, kelmarin.

Rossa yang ditemui selepas konsert Siti itu berkata, dia lebih awal mengosongkan jadual semata-mata untuk hadir menyaksikan konsert itu.

Menurutnya, konsert Siti itu berjaya mengembalikan memori lama menerusi lagu yang dipersembahkan.

Katanya, sebaik mendapat tahu Siti bakal mengadakan konsert di Indonesia, dia berpesan awal kepada pihak pengurusan supaya tidak mengambil sebarang tawaran persembahan pada waktu malam.

"Saya memang ingin menyaksikan konsert ini. Bila mendengar nyanyian Siti, tiba-tiba saya rasa dibawa kenangan lalu.

“Terbayang waktu itu peristiwa yang berlaku dan baju apa saya pakai. Semua memori lama datang kembali dalam ingatan," katanya kepada Harian Metro.

Rossa yang popular menerusi lagu Pudar berkata, Siti menyanyikan banyak lagu kegemarannya seperti Percayalah dan Biarlah Rahsia.

“Siti menyanyikan banyak lagu kegemaran antaranya Percayalah, Biarlah Rahsia yang diakui banyak memberi kenangan buat saya.

"Sebagai penonton, saya sangat berpuas hati dengan konsert ini,” katanya.

Ditanya keinginan bekerjasama dengan Siti dalam lagu, Rossa mengakui perancangan itu sudah ada sejak sekian lama lagi.

“Dari dulu lagi saya memang mahu merakamkan lagu bersamanya. Bagaimanapun impian ini tidak menjadi kenyataan kerana kami berbeza label dan agak sukar untuk dilaksanakan.

“Insya-Allah, saya harap hasrat ini dapat dilaksanakan suatu hari nanti,” katanya.

Pada konsert itu, Siti turut mengundang penyanyi Tulus untuk berduet dengannya menerusi lagu Seindah Biasa.

Teruja dengan peluang yang diberikan itu, Tulus menyifatkan duet mereka seperti impian menjadi kenyataan kerana terlalu mengagumi Siti.

"Saya sekeluarga sangat menggemari beliau. Saya sangat bangga dan senang sekali dapat berduet dengannya,” katanya yang turut mendendangkan dua lagu popularnya iaitu Jangan Cinta Aku Apa Adanya dan Sewindu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 8:26 PM