BERSYUKUR jenama ‘Rosyam Nor’ masih kekal dalam pasaran. FOTO Mahzir Mat Isa
Amirul Haswendy Ashari


SELEPAS 36 tahun menghambakan diri dalam bidang lakonan, Datuk Rosyam Nor, 52, mengakui bukan mudah untuk mengekalkan namanya terus disebut dan diberi peluang berlakon.

Menjaga disiplin, mengikut peredaran semasa, tidak membuat orang menyampah, menjaga hubungan baik dengan media dan masyarakat antara prinsip yang dipegangnya untuk kekal disegani hingga hari ini.

“Pada usia 52 tahun, bukan senang untuk kekalkan semua itu tetapi saya melihat pengalaman selama lebih tiga dekad ini adalah satu keseronokan.

“Saya tidak mahu nama Rosyam terus dilupakan. Jika saya sudah mati, nama saya masih menjadi sebutan. Saya nak ajar anak seni mengenai kepentingan jenama,” katanya.

Menurutnya, dia tahu namanya antara nama besar dalam industri hiburan tanah air. Ini kerana pilihan sering dibuatnya lain daripada yang lain.

Pelakon dan penerbit yang membesar di kawasan setinggan di Kampung Kerinci, Kuala Lumpur ini mahu memenuhi impiannya menjadi inspirasi kepada masyarakat dalam meletak anjakan ekonomi untuk berubah menjadi lebih baik.

Rosyam yang turut berjaya dalam bidang perniagaan dan pertanian juga tidak pernah menyesal dengan apa yang dilakukan sebelum ini.

“Saya perlu bersaing dengan banyak nama baharu, tetapi saya bersyukur jenama saya masih kekal dalam pasaran dengan melakukan sesuatu untuk pertahankannya.

“Cukuplah orang mengingati saya dan penampilan saya. Nak cari populariti bukan mudah kerana saya sudah melalui pelbagai ranjau,” katanya.

Bagi mereka yang sudah menonton filem Misteri Dilaila pasti berasakan watak Inspektor Azman lakonan Rosyam turut meninggalkan kesan tersendiri.


ROSYAM bakal muncul dengan filem Proxy dan Motif. FOTO Mahzir Mat Isa

Namun, jauh di sudut hatinya dia berdebar apabila ditawarkan watak itu daripada pengarah, Syafiq Yusof.

“Sebelum ini dalam filem arahan Syafiq iaitu KL Special Force, saya juga membawa watak polis. Kali ini jadi polis lagi dalam Misteri Dilaila.

“Bagaimanapun, selepas Syafiq maklumkan watak polis kali ini berbeza, saya cuba yakinkan diri. Dalam KL Special Force, watak saya iaitu Roslan ialah seorang agresif. Namun, untuk Misteri Dilaila, Inspektor Azman lebih kepada menyiasat,” katanya.

Sehubungan itu, Rosyam berharap peminat dapat menerima kelainan yang diberikannya dalam filem ini.

Bagi yang pernah berbual dengan pelakon ini, pasti sering mendengar Rosyam berkata dia bukanlah pelakon yang bagus tetapi syarikat produksi yang menjadikannya bagus.

Rosyam memberi contoh lakonannya dalam filem KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof. Walaupun sudah enam tahun ditayangkan, tetapi ia masih diingati sehingga kini.

“Apabila dapat berlakon di bawah arahan Syafiq, ia adalah jenama baharu. Saya juga bersyukur dapat bekerja dengan barisan pelakon popular dan berbakat besar seperti Zul Ariffin,” katanya.

Rosyam percaya filem Misteri Dilaila akan menjadi ‘trend setter’ atau ikutan pengkarya baharu kerana mencipta sejarah dalam penceritaan di luar kotak kerana bermain dengan minda penonton.

Lebih menarik, penceritaan filem ini dikatakan tidak pernah berlaku dalam sejarah perfileman dunia sebelum ini.

Selepas filem genre thriller ini, Rosyam akan muncul dengan filem Proxy dan Motif selain sebuah telefilem khas raya berjudul Wakaf Dosa arahan Erma Fatima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 6:30 AM