MILLER berdepan pengalaman paling menakutkan sejak bergelar pelakon di Indonesia. FOTO Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON Miller Khan mendedahkan pernah diminati 'makhluk halus' ketika menjalani penggambaran filem seram Hide & Seek Minako di Jakarta tiga tahun lalu.

Pelakon asal Malaysia itu berkata, ia pengalaman paling menakutkan sejak bergelar pelakon di Indonesia.

"Selepas selesai satu babak filem itu sekitar jam 3 pagi, saya ke bilik rehat yang disediakan dan diberitahu seorang kru sedang dirasuk 'Kuntilanak'.

"Dia mengamuk sambil membaling barang sehingga menakutkan semua kru yang berada di situ tapi apabila saya masuk dan kami bertentang mata, dia terus diam melihat saya," katanya ketika ditemui selepas tayangan filem seram itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, dia tidak dapat melupakan cara kru yang dirasuk itu melihatnya hingga ke hari ini.

Miller mendakwa, kru lain memberitahu kru dirasuk itu dipercayai membuang 'barang' di dalam bilik air dalam bilik rehat itu sehingga menyebabkan makhluk halus itu marah.

"Lokasi penggambaran pula sudah sedia seram dan lama ditinggalkan sehingga berhabuk, pastinya lebih mudahlah 'diganggu'," katanya.

Kru lain yang berada di tempat kejadian berseloroh mungkin makhluk halus itu sukakan Miller lantas menyebabkan kerasukan itu tiba-tiba terhenti.

Filem yang ditayangkan di Indonesia pada 2017 itu bakal ditayangkan di Malaysia pada 28 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 2:23 PM