SYAFIQ mahu dedahkan mengenai elemen dua penamat berbeza selepas seminggu tayangan Misteri Dilaila. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.
Amirul Haswendy Ashari


"INI adalah filem saya yang paling ramai orang bercakap," kata pengarah filem Misteri Dilaila, Syafiq Yusof mengenai sambutan diterima filem itu daripada warganet sejak hari pertama filem itu ditayangkan.

Pun begitu, dari segi kutipan filem itu belum mencapai tahap pecah panggung seperti diharapkan.

Syafiq mendakwa setakat hari ini, kutipan filem Misteri Dilaila baru mencecah RM1 juta sejak ditayangkan pada 21 Februari lalu.

"Saya tahu filem ini ada risiko sebab kalau tengok pada sambutan, kebanyakan sambutan datang dari panggung di kawasan bandar dan di Singapura.

."Memanglah ramai yang bercakap tapi tidaklah sampai cuba nak kaut untung dengan mewujudkan dua penamat berbeza.

"Kalau nak buat filem yang ada untung, lebih baik saya fokus pada Abang Long Fadil," katanya.

Syafiq ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia sudah menjangkakan penonton akan berbincang mengenai filem ini cuma tidak menyangka perbincangan itu sudah pun bermula.

Katanya, nak diikutkan dia mahu mendedahkan mengenai elemen dua penamat berbeza selepas seminggu tayangan.

"Sepatutnya saya jangkakan penonton akan keliru tapi selepas tiga hari tayangan, penonton sudah mendedahkan banyak perkara malah mereka membuat penyiasatan sendiri di laman sosial.

"Ada juga penonton yang 'Direct Message' marah-marah kenapa jalan cerita tergantung tapi kalau tengok filem Hollywood atau Netflix banyak saja yang mempunyai jalan cerita tergantung," katanya.

Katanya, apatah lagi tiada pun undang-undang dalam pembikinan filem bahawa pembikin wajib menghasilkan jalan cerita yang tidak tergantung.

Dia juga bersyukur kerana ramai memuji filem itu mencatat sejarah perfileman tempatan sebagai pertama seumpamanya dengan menghasilkan dua penamat dalam satu cerita.

Dalam pada itu, Syafiq juga menjawab dakwaan filem Misteri Dilaila meniru jalan cerita filem dari Korea Selatan contohnya The Forgotten dan Challenging.

Tidak menafikan atau mengesahkan, dia berkata filemnya itu hanya mendapat inspirasi daripada beberapa filem dari sana termasuklah filem yang didakwa pihak tertentu.

"Saya memang suka tengok filem dari Korea Selatan dan filem Misteri Dilaila mendapat inspirasi paling besar dari sana cuma diolah dengan corak saya," katanya.

Misteri Dilaila adalah filem kelapan arahan Syafiq dibintangi pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor, Nam Ron dan Mas Khan.

Selepas tiga minggu tayangan di Malaysia, filem itu bakal ditayangkan di lebih 100 panggung di seluruh Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 4:42 PM