MISHA bakal muncul dengan konsert solo.
Ramlah Zainal

DEWAN Filharmonik Petronas (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menyenaraikan konsert hebat barisan artis terkenal daripada pelbagai genre muzik sempena penganjuran musim konsert ke-21 sepanjang tahun ini.

Buat julung kalinya, musim konsert kali ini yang bermula Januari lalu dan berakhir Disember ini tidak lagi mengikut format musim konsert Eropah seperti musim sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif DFP/MPO, Sareen Risham berkata, pihaknya berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menonton musim konsert kali ini.

“Konsert ke-21 ini menyajikan senarai program muzik yang luas merangkumi pelbagai genre muzik daripada interpretasi muzik klasikal MPO ke runut bunyi filem, pop dan rock.

“Kami mengalu-alukan Gerard Salonga sebagai konduktor residen baru yang akan meraikan kedatangan tahun baru dengan MPO untuk konsert dalam suasana ala Vienna.

“Dikenali dengan karisma dan bakat di serata Asia Tenggara, beliau akan berkongsi tugasan memimpin MPO dengan seorang lagi konduktor residen, Naohisa Furusawa yang akan membawa MPO ke peringkat artistik lebih tinggi,” katanya.

Sareen berkata, MPO mempersembahkan konsert bertemakan Rock Tri-O dengan menampilkan gabungan penyanyi terkenal iaitu Datuk Hattan, Hazama dan Azlan Typewriter yang akan menghiburkan penonton dengan lagu rock ikonik serta sentuhan simfoni orkestra pada November ini.

“Selain konsert Rock Tri-O, ia turut membabitkan konsert solo Misha Omar pada Ogos nanti. Menerusi iringan band, peminat akan dibawa menyusuri perjalanan seni Misha dalam konsert satu malam itu.


HAZAMA bakal jayakan Konsert RockTri-O.

“Tidak ketinggalan, duta remaja MPO, Tengku Irfan yang akan kembali mengagumkan peminat muzik piano musim ini bersama barisan artis tempatan seperti penyanyi soprano Ang Mei Foong, bariton Mak Chi Hoe dan ahli silap mata Chase Lew dalam konsert bersama MPO,” katanya.

Mengulas mengenai musim konsert kali ini, Sareen berkata, pihaknya akan memastikan program yang menarik, kekal dengan matlamat asal untuk memberi hanya yang terbaik dalam muzik klasikal.

“MPO akan terus membawa seni ke tahap yang lebih tinggi melalui persembahan karya agung dari abad terdahulu termasuk Tchaikovsky berjudul Queen of Spades dan muzik ‘aria’ ciptaan Mozart.

“Buat pertama kalinya, MPO juga akan mempersembahkan konsert yang membawakan sepenuhnya karya pencipta wanita sempena Hari Wanita Sedunia pada Mac ini.

“Bertemakan Women In Music, konsert istimewa ini akan dipimpin Jessica Cottis yang kembali bekerjasama dengan MPO selepas konsert Ola Bola - Movie With Live Music pada 2017,” katanya.

Menurut Sareen, MPO akan membawakan konsert bertemakan Beatbox Symphony, kerjasama dengan ‘beatboxer’ terkenal Tom Thum pada Mac ini.

“Ia juga mengimbas kembali konsert fenomena Distant Worlds: Music from Final Fantasy pada April ini selepas kejayaan konsert seumpama pada 2012 dan 2014.

“Susulan kejayaan konsert The Music of Hans Zimmer pada musim lalu, MPO akan memberi penghargaan yang serupa kepada seorang lagi komposer filem Hollywood terkemuka, James Horner pada Mei ini,” katanya.

Dalam pada itu, sempena tayangan episod terakhir siri filem Star Wars di pawagam, MPO akan mempersembahkan semua lagu runut bunyi siri filem ini dalam konsert pada Disember ini.

Tayangan filem dengan iringan muzik MPO secara langsung antara konsert pilihan penonton, selepas Home Alone, Psycho, Casablanca, Ratatouille dan Ola Bola, MPO akan membawa filem blockbuster Raiders Of The Lost Ark ke layar pentas DFP pada September ini.

Maklumat lanjut mengenai konsert atau tiket, sila layari www.mpo.com.my atau [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:00 PM