X
SANTESH tak sangka lagu Amalina masih menerima sokongan peminat. FOTO Arkib NSTP
SANTESH tak sangka lagu Amalina masih menerima sokongan peminat. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


PENYANYI Santesh meluahkan rasa teruja apabila video klip lagu nyanyiannya berjudul Amalina versi Tamil mencipta sejarah sebaik tersenarai dalam Malaysia Book of Records.

Santesh berkata, dia tidak menyangka lagu Amalina berjaya dinobatkan sebagai lagu Tamil yang meraih sejuta tontonan dalam tempoh tiga hari di YouTube.

“Saya berasa terharu dan terkejut apabila dimaklumkan lagu Amalina versi Tamil tersenarai sebagai lagu Tamil paling pantas menerima satu juta tontonan di Youtube dalam tempoh tiga hari.

“Meskipun ramai kehadiran penyanyi berbangsa India mewarnai industri hiburan, tapi saya tak sangka lagu Amalina masih menerima sokongan daripada peminat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Mymuna.

Menurutnya, pencapaian lagu Amalina versi Tamil itu adalah tempias kejayaan lagu Amalina versi bahasa Melayu.

“Peminat terlebih dulu mendengar versi bahasa Melayu dan tidak sabar mahu menanti versi Tamil.

“Apabila versi terbabit dimuat naik di laman YouTube, ia mendapat sambutan hebat pelbagai lapisan bangsa. Lagu Amalina versi Tamil juga berjaya menduduki carta trending YouTube selama seminggu,” katanya.

Sehingga kini, lagu Amalina versi Tamil itu mendapat lebih 6.8 juta tontonan manakala versi bahasa Melayu meraih 26 juta tontonan di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 8:07 PM