NORMAN (belakang lima dari kiri) bersama artis yang terbabit dalam Festival KL Jamm. FOTO Mahzir Mat Isa
Amirul Haswendy Ashari


PENGARAH Festival KL Jamm, Datuk Norman Abdul Halim hari ini, mengumumkan beberapa lagi artis tempatan dan antarabangsa yang akan mengadakan konsert di Festival KL Jamm di Pusat Pameran dan Perdagangan Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 April ini.

Mereka ialah kumpulan Bunkface, Ruffedge, Pot Innuendo, artis dari Kartel (Joe Flizzow, Sona One, Ila Damia, Yung Raja, Faris Jabba dan Abu Bakarxli) dan Malaysia Pasangge (artis India tempatan).

Manakala artis antarabangsa pula terdiri daripada J Arie (Hong Kong), NCT Dream (Korea Selatan) dan DJ Sura (Korea Selatan).

Norman ketika ditemui pada sidang media berkata, bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke lokasi acara, pihak penganjur dalam proses untuk bekerjasama dengan pengendali perkhidmatan e-hailing tempatan.

"Walaupun pertama kali diadakan, festival ini mendapat peluang kerjasama dengan HK Asian-Pop Music Festival (HKAMF) di mana pemenang Supernova 2014 yang juga Duta HKAMF akan turut membuat persembahan.

"Kita dapat melihat kepelbagaian genre pada penganjuran ini dengan menyaksikan pemuzik dari pelbagai latar belakang dan budaya bersatu dalam sebuah acara besar," katanya.

Beliau menyasarkan lebih 30,000 pengunjung akan hadir pada acara selama tiga hari itu.

Ia termasuklah peminat muzik, pengkarya, pengendali platform digital dan penonton yang akan menyaksikan kesemua persembahan.

"Ekspo muzik bukan mengenai golongan pelaku seperti pemuzik atau penyanyi saja tetapi ia membabitkan banyak platform muzik lain termasuklah bidang perniagaan di saluran digital.

"Ini kerana keseluruhan ekosistem muzik di Malaysia sudah pun mencapai nilai dagangan hampir RM5 bilion, sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Norman berkata, penjualan tiket untuk semua persembahan setiap artis terbabit mula dijual bermula 7 Mac depan.

Awal Januari lalu, KL Jamm sudah pun mengumumkan beberapa artis tempatan yang akan terbabit iaitu Datuk Ramli Sarip, Datuk Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Datuk Afdlin Shauki, Zamani, Amelina, Radhi OAG, Dr Burn, Santesh, Rabbit Mac dan Sheezy.

KL Jamm yang dianjurkan Music Unlimited International Sdn Bhd itu, bakal menggabungkan pelbagai genre muzik seperti rock, hip hop, jazz dan juga pop dengan lebih 100 persembahan, 20 'showcase', pameran dan perdagangan berkaitan.

Untuk urusan pembelian tiket dan keterangan lanjut, boleh melayari www.kljamm.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 7:34 PM