MAMAT Khalid semakin pulih dan dibenarkan pulang ke rumah. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENGARAH, Mamat Khalid, hari ini dibenarkan pulang ke rumah selepas lima minggu terlantar di hospital akibat masalah paru-paru dan jantung.

Isterinya, Hasmah Hassan, berkata, keadaan suaminya juga kini semakin pulih.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan abang Mamat semakin pulih dan hari ini, doktor dah benarkan dia untuk pulang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hasmah, suaminya bagaimanapun perlu menjalani rawatan susulan selepas ini.

“Sebab dah lama sangat dia terbaring, jadi, walaupun sudah dibenarkan pulang, dia perlu menjalani rawatan susulan dan fisioterapi,” katanya.

Hasmah juga berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kesihatan suaminya.

Pengarah filem Hantu Kak Limah itu dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya pada 25 Januari lalu akibat sakit yang dialaminya.

Untuk rekod, tiga tahun lalu, Mamat pernah menjalani pembedahan kecil untuk membuka saluran darah yang tersumbat kerana masalah jantung.

Dia juga pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 2017 kerana sesak nafas.

Berita berkaitan

'Mamat mahu segera ke lokasi penggambaran'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:43 PM