AMEER selamat bergelar suami kepada pasangannya, Siti Nur Naja’a hari ini. FOTO Ihsan Ameer Forteen
Syafil Syazwan Jefri


“KAMI berkenalan di Instagram dan siapa sangka, hari ini, dia menjadi isteri saya yang sah,”.

Itulah kata penyanyi, Ameer Forteen yang petang tadi sah diijabkabulkan dengan pasangannya, Siti Nur Naja’a Shamsul Karam, 24, dengan sekali lafaz.

Ameer, 29, atau nama sebenarnya Mohd Arif Ameerais Azhar berkata, majlis ijab kabul itu hanya dihadiri rakan terdekat dan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Kami memang hanya menjemput keluarga dan beberapa rakan terdekat untuk majlis akad nikah hari ini.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan walaupun gugup, saya dapat melafazkan akad dengan sempurna,” katanya kepada Harian Metro.

Ameer dinikahkan oleh abang kepada Naja’a, Muhd Haqem Shamsul Kamar di Masjid Salahuddin al-Ayubi, Taman Melati jam 4 petang tadi.

Ameer berkata, perkahwinan itu membuatkannya lebih bersedia untuk menjadi suami yang bertanggungjawab dan komited.

“Tentunya, selepas bergelar suami, tanggungjawab saya jadi lebih banyak bukan saja kepada isteri, tetapi juga dari segi kewangan dan sebagainya,” katanya.

Majlis resepsi Ameer akan berlangsung di Forest Valley Hall, Bandar Mahkota Cheras esok.

Ameer dan Naja’a berkenalan pada 2017 sebelum mengikat tali pertunangan pada 13 Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:41 PM