SIL Khannaz selaku pembuka pentas. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Ridzuan Abdul Rahman


GENRE rock masih kekal diminati dan jumlah 1,000 peminat yang hadir membanjiri Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur untuk menyaksikan konsert Rockstage V dianggap sudah memadai bagi membuka tirai siri konsert Rockstage tahun ini.

Menampilkan tiga kumpulan rock iaitu Sil Khannaz, Amuk dan FTG, penganjur Rockstage Entertainment memilih tema Dominasi King Barbarik bagi menggambarkan kehebatan mereka dalam industri seni tempatan.

Seiring dengan tiga nama yang dikenali dalam kalangan peminat masing-masing, aspek sistem bunyi dan penataan cahaya amat dititikberatkan penganjur bagi menyemarakkan keghairahan penonton yang hadir.

Tiga kumpulan ini yang sudah hampir tiga dekad bertapak dalam bidang seni tidak perlu diperkenalkan lagi kerana masing-masing mempunyai kualiti persembahan muzik yang mantap.

Tepat jam 9.40 malam, Sil Khannaz mengambil tempat sebagai pembuka pentas Rockstage V.


FTG pertama kali mendendangkan lagu Democracy kepada khalayak. FOTO Zulfadhli Zulkifli.



Penyanyinya, Jaie menyampaikan lagu Tawanan Dosa yang juga menjadi judul album terbaru mereka.

“Ini kemunculan kami yang pertama bagi 2019. Sebelum ini saya berehat hampir enam bulan akibat kecederaan yang dialami. Terima kasih atas sokongan anda semua,” katanya yang tampil bertongkat.

Dia kemudian menyanyikan lagu Conception Of Madness sebagai lagu kedua mereka.

Bagi mengalih tumpuan peminat terhadap kecederaannya, Jaei menjadikan kerusi yang menjadi penghias kulit album terbaru sebagai gimik persembahannya.

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu Kiss Of The Whisper. Selepas itu, posisi penyanyi diambil alih pula oleh CD Naz dengan lagu Santapan Terakhir Raja Bersiong.

Sil Khannaz yang turut dianggotai Dark E selaku pemain gitar, Roi (gitar), Neer Hashirim (bass) serta Afzal (dram) terus membuai jiwa hadirin dengan lagu Eastern Barbaric Skullcrusher dan meninggalkan pentas dengan Gerbang Kayangan yang sudah pasti mengundang peminat untuk menyanyi bersama.

Tampil selepas itu Bandi Amuk & Superfriends yang membariskan pemuzik hebat Kid Search (gitar), Shahrul Ekamatra (gitar), Yan Lefthanded (bass) dan Ah Tonk Def-Gab-C (dram).


PEMINAT yang hadir menyaksikan Konsert Rockstage V yang menampilkan kumpulan Amuk, FTG dan Sil Khannaz. FOTO Zulfadhli Zulkifli.



Bandi tidak menunggu lama untuk ‘mengamuk’ menerusi rangkaian lagu Melayu Mudah Lupa dan Tak Merdeka yang sudah tentunya menghangatkan lagi suasana dalam stadium.

Bagaimanapun, dia kemudian bijak menenangkan perasaan penonton menerusi lagu slow rock popularnya Aku mahu Pulang.

Bandi menggunakan pengalamannya dalam industri sebaiknya apabila memilih mempelbagaikan genre nyanyiannya dalam persembahan.

Lagu lain nyanyiannya ialah Fikirkan Boleh, Lancang Kuning serta lagu Untukmu Sayang yang mempopularkan namanya bersama kumpulan Febian.

Lagu ini disampaikan dalam versi lebih keras dan menarik. Bandi seterusnya menyampaikan lagu Joget Tari Lenggang dan kemudian lagu Isi atau Kulit sebelum meninggalkan pentas.

FTG tampil sebagai artis terakhir konsert ini. Ia adalah pembabitan ketiga dalam siri konsert Rockstage selepas Sabah dan Pulau Pinang.

Penyanyinya Tajul menyampaikan lagu Fire, Malaysia Maju, Tak Sedar Diri dan Askar yang ternyata cukup mendalam maksudnya.

Mereka terus menghiburkan peminat dengan seleksi lagu nostalgia seperti Behind This Wall, After The Promise dan Kill The Evil.

Sejarah peribadi FTG turut terlakar apabila buat pertama kali mendendangkan lagu Democracy kepada khalayak.



Bagaimanapun, FTG tidak menyampaikan lagu-lagu daripada album terbaru mereka berjudul Kau Jangan kurang Ajar yang dijangka dipasarkan sebelum Mei ini.

Apa yang ketara, rata-rata peminat yang hadir adalah pengikut tegar dan boleh dikatakan seusia perjalanan seni tiga kumpulan ini.

Bahkan masing-masing masih mampu menghafal setiap bait lirik lagu yang disampaikan oleh penyanyi kesukaan mereka daripada awal hingga akhir.

Wakil penganjur, Talib Othman mengakui berpuas hati dengan perjalanan konsert termasuk persembahan tiga kumpulan ini.

“Sambutan peminat seperti sudah dijangka dan jumlah ini sudah cukup menggembirakan kami.

“Sistem bunyi serta penataan cahaya juga mantap dan menarik sememangnya menepati cita rasa semasa.

“Kami akan bergerak ke lokasi lain pula selepas ini dan ia akan diberitahu dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 1:46 PM