Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS anak kedua Rita Rudaini iaitu Airit Rafqa Arjuna, 8, dibenarkan keluar hospital semalam, anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 10, pula dimasukkan ke hospital akibat jangkitan rotavirus pada hari sama.

Rita, 43, berkata, Rayyan yang mengalami muntah dan cirit-birit sejak pagi semalam dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

”Selepas yang bongsu keluar hospital petang semalam, tak sangka abangnya pula masuk wad pada hari sama. Rayyan mengalami muntah dan cirit-birit berterusan.

“Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan dia dijangkiti rotavirus. Doktor turut memaklumkan dia mengalami kekurangan air dalam badan.

“Saya tidak tahu berapa lama dia akan ditahan di wad. Sejak semalam doktor sudah memberikan ubat dan memasukkan air ke dalam badannya,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Rafqa Arjuna dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lalu akibat Influenza B.

Rita yang masih terbabit dengan penggambaran drama berjudul 4 Penjuru terpaksa berulang-alik ke hospital.

Menurutnya, keadaan yang menimpa anaknya ditambah kesibukan kerjaya tidak sesekali melemahkan semangat sebaliknya menjadikan dia lebih kuat.

“Semalam selepas Rayyan masuk wad, saya minta sepupu tolong jaga dan kembali ke lokasi penggambaran. Selepas habis, saya kembali semula dan bermalam di sini.

“Hari ini kebetulan tidak ada babak dan saya bercuti. Jadi, boleh teman dan tengokkan anak. Rayyan pula manja kalau sakit dia perlukan saya di sisi. Berbeza dengan adiknya yang senyap saja,” katanya.

Rita berkata, dia bersyukur kerana Allah memberikan kekuatan kepadanya untuk berdepan semua itu.

“Perkara ini biasa untuk saya. Ini kerana sejak mereka kecil saya uruskan seorang diri. Ada satu ketika kedua-duanya ditahan di hospital serentak,” katanya.

Berita berkaitan

'Rita Rudaini tak suka orang 'tag''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 2:29 PM
RITA bergilir dengan sepupu menjaga anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin yang dimasukkan ke wad. FOTO Sudirman Mohd Tahir dan Ihsan NSTP