ERNIE tetap dengan pendirian tidak menyanyikan lagu Misteri dalam mana-mana persembahan. FOTO Mohd Fadli Hamzah


PENYANYI Ernie Zakri tetap mempertahankan pendiriannya untuk tidak menyanyikan lagu Misteri dalam mana-mana persembahan seperti yang pernah disuarakan sebelum ini.

Ernie berkata, keputusan untuk tidak menyanyikan lagu itu dibuat kerana mahu melupakan kontroversi yang pernah melanda lagu itu apabila ia gagal mara ke peringkat separuh akhir Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) tahun lalu.

Ernie turut menegaskan, tindakannya itu tiada kaitan dengan unsur dendam sebaliknya dia mahu pandang ke hadapan.

“Bila bercakap mengenai ‘move on’ saya kena betul-betul pandang ke depan. Saya tidak boleh menoleh ke belakang.

“Jadi untuk tempoh setahun ini, saya berani berjanji tidak akan menyanyikan lagu ini dalam mana-mana persembahan. Saya mahu melupakan apa yang sudah berlaku.

“Lagipun saya mahu buka buku baru dan pandang ke hadapan. Kalau ada mana-mana pihak yang mahu saya menyanyikan lagu ini, saya tetap akan menolak. Tapi rasanya mereka akan faham,” katanya ketika ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha An Afternoon with Syamel & Ernie Zakri ... When Heart Needs A Beat di Marriot Hotel Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, meskipun berat untuk membuat keputusan itu, namun dia menganggap apa yang berlaku tiada rezeki.

“Walaupun sangat sayangkan lagu ini tapi kena akur rezeki tidak berpihak kepada saya.

“Memang berat untuk buat keputusan ini tapi mahu atau tidak saya kena reda sebab banyak lagi lagu yang boleh dinyanyikan. Mungkin lagu ini boleh dinyanyikan pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, kontroversi lagu ciptaan Gouffran & Sang Hitam tercetus apabila Misteri gagal mara ke pusingan separuh akhir AJL33.

Pada masa sama, wujud dakwaan mengatakan kontroversi yang berlaku turut membabitkan syarikat rakaman sebelum ini iaitu FMC Music.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 7:13 PM