YUSRI (duduk kanan) sentiasa memberi sokongan kepada anaknya. FOTO/AIMAN TINO
YUSRI (duduk kanan) sentiasa memberi sokongan kepada anaknya. FOTO/AIMAN TINO
Syafil Syazwan Jefri


“AHLI politik dan ulama pun boleh dianiaya dengan kewujudan video lucah, inikan pula artis.”

Demikian kata komposer, Yusri Ishak yang juga bapa kepada penyanyi Aiman Tino mengenai lelaki dalam video lucah yang dikatakan mirip wajah anaknya itu.

Yusri, 50, berkata, mereka sekeluarga sedar ini adalah rencah dunia hiburan yang terpaksa dihadapi Aiman.

“Zaman sekarang semua orang boleh buat macam-macam. Tak ada yang mustahil dalam dunia serba moden seperti hari ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Yusri, ini bukan kali pertama mereka sekeluarga diduga dengan berita mengejutkan seumpama itu.

“Sebelum ini, kami dikejutkan dengan berita kononnya Aiman parah dalam kemalangan di Pulau Pinang. Kemudian, timbul pula berita kononnya dia meninggal dunia.

“Tidak lama selepas itu, ada pula berita mengatakan dia ditangkap khalwat. Jadi, ini adalah satu lagi dugaan yang kami sekeluarga perlu telan,” katanya.

Komposer lagu Ku Rela Dibenci nyanyian Aiman itu berkata, keluarganya dan pihak pengurusan Aiman seboleh-bolehnya ingin menyelesaikan isu ini tanpa sebarang tindakan undang-undang.

“Kalau boleh, saya tidak mahu naik turun mahkamah kerana proses undang-undang akan mengambil masa yang sangat panjang. Namun, jika perkara ini berterusan, pihak pengurusan menasihatkan supaya mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan Aiman, Yusri mengakui anaknya berada dalam keadaan tertekan.

“Siapa yang tidak tertekan dengan situasi yang berlaku. Namun, kami sekeluarga sentiasa ada bersamanya untuk memastikan tidak ada apa-apa yang buruk berlaku,” katanya.

Terdahulu, video bogel dan aksi lucah itu mula tular di media sosial sejak tiga hari lalu dan semalam, pihak Aiman mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang mencari penyelesaian untuk isu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 11:01 AM