Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengesahkan Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza on Tour di Royale Albert Hall London yang dijadual berlangsung pada 22 April ini belum dimuktamadkan penganjurannya.

Siti, 40, berkata, dia masih menunggu kata putus daripada pihak penganjur iaitu Shiraz Projects.

“Selagi pihak penganjur tidak bercakap apa-apa mengenai konsert ini saya tidak boleh nak putuskan. Kita kena tunggu pengumuman daripada mereka.

“Kalau bukan dibuat pada April ini pun, mungkin tahun depan atau seterusnya. Sebab, pihak Royale Albert Hall London pun sentiasa terbuka dengan tarikh daripada kita.

“Pendek kata, kita mencari waktu yang sesuai untuk ke sana,” katanya kepada Harian Metro.

Siti yang ditemui pada sambutan ulang tahun pertama anaknya, Siti Aafiyah di Kuala Lumpur berkata, jika tidak bersama penganjur itu pun, dia tetap akan meneruskan perancangan itu.

“Kalau bukan dengan pihak Shiraz Projects pun, saya dan pasukan iaitu Siti Nurhaliza Productions tetap akan ke sana. Sebab ini adalah perancangan asal kami.

“Saya percaya, konsert ini masih boleh diteruskan dengan pelbagai cara. Sebab saya memang mahu membawa muzik kita ke peringkat antarabangsa.

“Seandainya tidak di sana pun, mungkin di lokasi luar negara lain,” katanya.

Berkongsi mengenai sambutan hari jadi Aafiyah, Siti berkata ia disambut dua hari awal daripada tarikh lahir anaknya iaitu pada 19 Mac.

“Hari jadi sebenar Aafiyah jatuh pada Rabu dan ia hari bekerja. Suami pula tidak mahu ia dibuat selepas tarikh itu.

“Jadi, kami sepakat untuk buat hari ini. Segala perancangan sudah diatur awal. Majlis bertemakan ala karnival pula berdasarkan kesukaan Aafiyah.

“Dalam masa sama, ia memudahkan kanak-kanak yang hadir untuk bermain dan bersuka ria. Nampaklah meriah sikit,” katanya.

Antara rakan artis yang hadir bersama anak adalah Amyra Rosli, Fizo Omar, Rozita Che Wan, Fouziah Gous dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:16 PM
SITI dan Khalid meraikan sambutan hari jadi anak mereka, Aafiyah dua hari lebih awal. FOTO Asyraf Hamzah
SITI dan Khalid meraikan sambutan hari jadi anak mereka, Aafiyah dua hari lebih awal. FOTO Asyraf Hamzah