STUDIO Awi akan dilancarkan pada penghujung Syawal nanti. -FOTO: Aziah Azmee
STUDIO Awi akan dilancarkan pada penghujung Syawal nanti. -FOTO: Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry

TIDAK meletakkan populariti sebagai keutamaan, penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael, 32, menyifatkan kembara seninya berkembang mekar meski kurang mendapat publisiti media.

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael berkata, apa yang penting impiannya untuk membuka sebuah studio dan berkongsi karya seni dengan masyarakat dapat dilaksanakan.

“Sejak awal membabitkan diri dalam bidang seni, saya tidak pernah memikirkan populariti. Saya berkarya mengikut apa yang saya suka dan terus menghasilkan lagu apabila ada permintaan.

“Bagi saya populariti perkara kedua kerana apa yang perlu diutamakan adalah orang tahu lagu saya masih ada dan relevan untuk semua pendengar,” katanya.

Mengulas lanjut studio impiannya, Awi berkata ia hampir siap dan akan dibuka bersama kafe membolehkan pengunjung makan sambil bersantai mendengar muzik yang dimainkan.

“Studio ini di Ara Damansara dan insya-Allah akan dilancarkan pada penghujung Syawal nanti.

“Studio ini saya buka untuk beri peluang kepada anak muda yang berbakat menghasilkan lagu tetapi tiada platform untuk mempamerkan kebolehan mereka.

“Selain itu, mereka juga boleh bekerjasama dengan saya dan berkongsi idea yang ada daripada terbuang begitu saja,” katanya.

Berbicara mengenai single baru, Awi melancarkan Rahasiaku pada 17 Mac lalu. Lagu berkonsepkan balada itu hampir sama dengan apa yang pernah ditampilkan Awi pada awal kemunculannya.

“Saya tahu ramai mahu saya tampil dengan lagu seperti Pulanglah dan Bila Aku Jatuh Cinta.

“Rahasiaku mungkin boleh mengubat rindu mereka terhadap lagu berkenaan. Memang sudah lama saya tidak tampil dengan lagu berkonsep sebegini dan harap peminat suka,” katanya.

Selain sibuk mempromosikan single Rahasiaku, Awi juga rancak mengusahakan pembikinan lagu runut untuk filem Tantiyana yang bakal ditayang­kan tidak lama lagi.

“Alhamdulillah rezeki saya. Walaupun ada yang beranggapan saya kurang aktif, hakikatnya sibuk dengan kerja studio.

“Pembabitan dalam menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem sangat mencabar dan ia beri saya idea untuk menghasilkan karya lebih baik.

“Saya berharap selepas ini terus diberi peluang menghasilkan lagu runut untuk filem,” katanya.

AWI melancarkan Rahasiaku pada 17 Mac lalu.
AWI melancarkan Rahasiaku pada 17 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 5:30 AM