DARI kiri Akram, Eric, Ayie, Falique dan Achoi.
DARI kiri Akram, Eric, Ayie, Falique dan Achoi.
Ardini Sophia Sina


AWAL kemunculannya, kumpulan yang dianggotai enam anak muda ini pernah digelar kugiran kampung. Tidak kurang, ada segelintir pihak memandang mereka sebelah mata.

Seiring perubahan waktu, Floor 88 membuktikan mereka layak berada dalam industri seni tanah air. Walaupun baru saja mempertaruhkan tiga lagu, nama mereka semakin mekar.

Namun, untuk berada di tahap itu bukanlah perkara mudah. Mereka terpaksa bekerja keras menampilkan karya yang bukan hanya sekadar sedap didengar tetapi menambat hati peminat.

Tahun lalu, Floor 88 sekali lagi menampilkan kelainan apabila berkolaborasi dengan Baby Shima menerusi lagu Roadblock Hatiku. Menyuntik sedikit elemen dangdut, mereka bagaimanapun menolak dakwaan menggunakan populariti penyanyi wanita itu di Indonesia bagi menembusi pasaran di sana.

Vokalis Floor 88, Ayie Elham berkata, tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk mempergunakan nama Baby Shima demi meraih perhatian sekali gus menjadikannya batu loncatan mencipta nama Floor 88 di Indonesia.

Namun, Floor 88 yang turut dianggotai oleh Achoi selaku pemain gitar utama, Falique (bass), Eric (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua), mengakui semakin dikenali selepas bekerjasama dengan Baby Shima.

“Tiada istilah tumpang populariti. Kami memilih berkolaborasi dengan Shima kerana sesuai dengan konsep lagu yang ada elemen dangdut.

“Tidak dinafikan apabila bekerjasama dengan Shima, Floor 88 sudah ada peminat dari Indonesia. Malahan, sudah ada yang bertanya bila kami akan ke sana,” kata Achoi.

Meskipun ada perancangan mahu mencuba nasib di negara jiran, Floor 88 bagaimanapun mahu mengukuhkan nama di negara sendiri terlebih dulu. Mereka percaya rezeki sentiasa ada. Apa yang penting kini adalah terus menghasilkan karya berkualiti dan memperbaiki kelemahan yang ada dari semasa ke semasa.

Tidak dapat dinafikan apabila bergerak secara berkumpulan, vokalis individu pertama yang akan jadi perhatian.

Mengulas perkara itu, Ayie berkata ada yang mencadangkan dia mencuba nasib sebagai penyanyi solo atau sekurang-kurangnya menghasilkan projek solo tanpa meninggalkan kumpulan itu.


Bagaimanapun, Ayie tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berbuat demikian. Dia lebih selesa berada di atas pentas bersama rakan.

“Saya tak boleh bergerak secara solo kerana akan kaku di atas pentas. Saya selesa bergerak dengan rakan.

“Buat masa ini saya tidak terfikir untuk tampil dengan lagu solo. Namun, kami tidak menghalang mana-mana anggota lain untuk terbabit dengan projek. Masing-masing diberikan hak untuk menggunakan kelebihan asalkan Floor 88 masih menjadi keutamaan,” kata Ayie.

Selain dalam proses menghasilkan lagu baharu, Floor 88 juga bakal menyusun lagu yang dimuatkan dalam album pertama mereka. Perancangan awal mereka adalah memuatkan lagu yang pernah dibawakan ketika menyertai pertandingan sebelum ini.

Pernah terfikir untuk membawakan lagu balada, peminat mereka belum puas mendengar naskhah yang Floor 88 bawakan.

“Kami mungkin akan menyanyi secara unplugged lagu yang dirasakan boleh dijadikan single seterusnya. Kami muat naik di laman sosial dan minta peminat undi lagu mana yang mereka mahu dirakamkan secara penuh.

“Saya sendiri pun sudah puas nyanyi lagu rancak. Kalau boleh, teringin juga bawakan genre lain. Kalau kita sendiri pun mesti akan bosan kalau asyik makan lauk yang sama.

“Begitu jugalah dengan pendengar. Mereka juga pastinya ingin mendengar Floor 88 menyanyikan lagu genre lain. Bagaimanapun, pemilihan genre untuk single seterusnya juga perlu dilihat secara terperinci terlebih dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 4:00 AM