FARALI Khan tidak kecewa memotong rambut pendek demi menyesuaikan watak dalam filem aksi. FOTO Arkib NSTP dan Ihsan Farali Khan


“SAYA percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya mahu sentiasa positif dan menerima keputusan ini dengan berlapang dada,” kata pelakon Farali Khan yang mengakui tidak kecewa apabila namanya digugurkan daripada sebuah produksi filem aksi tempatan baru-baru ini.

Farali berkata, namanya terpaksa ditukar dengan pelakon lain berikutan mengalami kecederaan patah buku lali ketika menjalani latihan itu.

Katanya, dia percaya segala yang berlaku adalah ketentuan Allah dan yakin rezekinya dalam bidang lakonan masih terbuka luas.

“Walaupun berlatih berminggu untuk mendapatkan bentuk badan ideal bagi watak terbabit dan memotong rambut pendek, saya tidak kecewa.

“Saya anggap tiada rezeki bagi memegang watak itu walaupun teruja untuk membawakan karakter itu.

“Saya anggap mungkin ada rezeki yang lebih luas selain yakin dugaan ini mampu membuatkan saya lebih kuat dan berani untuk terus berkarya sebagai pelakon,” katanya.

Menurut Farali, dia menghormati keputusan syarikat produksi itu selain sentiasa bersikap profesional.

“Sejujurnya, saya okey dengan keputusan itu. Saya juga diberikan pampasan apabila khidmat tidak lagi diperlukan dalam filem berkenaan.

“Walaupun dengan imej berambut pendek, saya masih percaya pada bakat dan insya-Allah, tawaran pasti ada,” katanya.

Dalam pada itu, Farali memberitahu kecederaan pada buku lali akan kembali baik dalam tempoh dua minggu lagi.

“Insya-Allah, kecederaan patah buku lali ini dijangka pulih sekitar dua minggu lagi. Selepas itu, saya akan kembali aktif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 4:39 PM