SITI Nurhaliza dan Khalid Jiwa memotong kek bersempena majlis sambutan hari lahir pertama Siti Aafiyah di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. -Foto Asyraf Hamzah
Sudirman Mohd Tahir


TANGGAL 19 Mac lalu genap setahun usia permata hati penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah Khalid.

Bersempena hari lahir puterinya itu, Siti dan suami mengadakan majlis sambutan hari jadi bertemakan karnival dan taman permainan yang diadakan tiga hari lebih awal.

Apa yang pasti, acara itu antara yang dinantikan peminat Siti selepas kelahirannya setahun lalu.

Namun, pada usia itu, apa yang paling penting bagi Siti adalah memberikan sepenuh kasih sayang dan didikan agama secukupnya berbanding memberi kemewahan berupa hadiah.

“Tema acara ini adalah impian saya bagi meraikan ulang tahun pertamanya. Saya menjemput keluarga, kenalan dan rakan yang memiliki anak sebaya atau lebih tua daripada Aafiyah. Alhamdulillah, saya tengok semuanya seronok hinggakan saya pun teruja nak bermain sama.

“Kalau tanya soal hadiah, saya tidak mahu mendidik dia yang setiap kali hari jadi kena ada sesuatu. Bagi saya, kasih sayang, mendidik dan menjaganya itu lebih penting.

“Selepas ini mahu mendidik dia pula. Saya pun gementar juga. Ditambah pula, saya memiliki Aafiyah pada usia agak lambat. Kebanyakan kawan semua sudah lepas dan ada antaranya anak mereka sudah ke sekolah rendah.

“Tapi saya baru nak masuk fasa mendidik dia. Jadi, saya kena buat dengan betul dan berikan ilmu secukupnya. Insya-Allah, perlahan-lahan saya belajar,” katanya.

Siti yang baru selesai mengadakan Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza on Tour berkata, dia dan suami mahu menitikberatkan pendidikan buat anak mereka.

“Soal pendidikan, suami sangat mementingkannya. Dia sudah fikir nak ambil ustazah untuk ajarkan Aafiyah. Secara peribadi, kami memang mahu terapkan ilmu agama kepadanya. Pada masa sama, perlu juga seimbangkan dengan ilmu dunia.

“Lagipun, sekarang sudah banyak juga sekolah antarabangsa yang berkonsepkan Islam. Insya-Allah, saya punya perancangan ke arah itu. Ini semua antara impian saya buat Aafiyah,” katanya.

Pada usia anaknya sekarang, Siti menyifatkan Aafiyah seorang anak yang mudah diurus, dijaga dan tidak banyak ragam.

“Walaupun baru setahun dan banyak belum faham, dari segi cara dan tingkah laku, saya melihat dia seorang bayi yang sangat gembira. Bayi biasa takut dengan patung, maskot atau bunyi bising, tapi Aafiyah tidak.

“Alhamdulillah, Aafiyah juga banyak memudahkan saya. Baru-baru ini, saya membawanya di semua lokasi konsert. Dia duduk diam saja dan tidak menangis pun walaupun suasana dalam dewan agak bising.

“Saya juga beryukur Aafiyah tidak banyak ragam. Pendek kata, senang saya bawa dia ke mana-mana dan menjaganya. Saya selalu berdoa semoga dia menjadi anak solehah,” katanya.

Ditanya apabila dewasa kelak Aafiyah menunjukkan minat dalam bidang seni dan ingin menjadi sepertinya, Siti membenarkan jika ia sekadar suka-suka.

“Apa saya gambarkan adalah, kalau boleh tidak mahu Aafiyah terbabit dalam bidang seni. Tapi, kalau Allah kurniakan bakat dan dia berkeras juga nak masuk industri hiburan, kita kena selalu menasihati dan pantau.

“Cuma, kalau betul nak jadi anak seni, dia kena menjadi yang lebih berjaya daripada saya. Dia kena belajar muzik, nota lagu, teori dan teknik. Itu semua saya tak belajar selama ini. Namun, jarang kita tengok, kalau ibu atau bapa ‘superstar’, anak mereka ikut jejak langkah sama.

“Mungkin Aafiyah boleh memberi fokus pada perniagaan dan pendidikan. Selain itu, kalau suka-suka tidak mengapa. Bagaimanapun, dalam perkara ini saya tak boleh nafikan darah seni yang ada,” katanya.

Lagu Aafiyah Anak Ibu

Selepas mencipta lagu Ting Ting Tang Ting khas buat Aafiyah, terbaharu muncul pula idea supaya Siti merakamkan lagu menggunakan judul Aafiyah Anak Ibu berdasarkan ungkapan manja yang sering digunakan Siti memanggil anaknya.

Ungkapan yang menjadi ‘trademark’ Siti memanggil anaknya mulai tular selepas diajuk pengacara Sherry Al Hadad pada Anugerah Juara Lagu ke-33 lalu.

Menurut Siti, ungkapan ‘Aafiyah anak ibu’ baginya adalah panggilan biasa buat anak itu.

“Saya tidak menjangka selepas Sherry mengajuk panggilan itu, ramai pula yang mengikutnya. Tapi saya fikir, nada ajukan itu keterlaluan. Saya tidaklah sampai macam itu.

“Rasanya, gaya panggilan saya biasa saja. Sengaja mereka mahu kenakan saya. Tapi realitinya, memang begitulah cara saya panggil Aafiyah.

“Untuk dijadikan lagu, ia idea yang bagus. Tapi saya tak terfikir pun. Mungkin saya patut menimbangkannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 5:31 AM