SHERRY (kanan) memohon maaf atas salah faham ketika menulis komen di Instagram Nabila Razali (kiri) mengenai ulat sagu. FOTO Instagram Nabila Razali
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Sherry Ibrahim, memohon maaf sekiranya komennya di laman Instagram penyanyi dan pelakon Nabila Razali mengenai makanan tradisi Sabah, ulat sagu disalahertikan dan menyentuh sensitiviti penduduk negeri itu.

Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 36, berkata, dia bukan menghina makanan itu menggelikan, tapi meluahkan fobianya kepada ulat.

“Saya minta maaf kalau komen saya itu menyentuh sensitiviti dan menyebabkan salah faham kepada orang Sabah. Saya tak maksudkan pun makanan itu menggelikan atau apa kerana ia makanan mereka.

“Geli yang dimaksudkan adalah kerana saya memang fobia dengan haiwan kecil seperti ulat dan cacing,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ramai rakannya yang makan ulat sagu dan dia tidak pernah memandang makanan itu sebagai sesuatu yang kotor.

“Ramai kawan yang makan dan saya okay. Saya cuma fobia sehinggakan tidak pernah pergi melakukan aktiviti luar seperti memanjat gunung kerana terlalu fobia kalau pacat naik ke kaki,” katanya.

Sherry juga tidak menolak sekiranya ada interpretasi berbeza daripada orang yang membaca komennya.

“Komen yang saya tulis dalam bentuk teks. Jadi, mungkin mereka yang membaca, membaca dalam intonasi berbeza dengan apa saya tulis, sekali gus menjadikan interpretasi berbeza,” katanya.

Di ruangan komen, ramai warganet terutamanya dari Sabah menulis kecaman terhadapnya, namun ada juga yang membela.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 3:23 PM