VIDEO ‘miming’ Kak Girl pernah tular dan rakaman itu turut dikongsikan Datuk Shah Rukh Khan. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
VIDEO ‘miming’ Kak Girl pernah tular dan rakaman itu turut dikongsikan Datuk Shah Rukh Khan. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Ardini Sophia Sina


PERKONGSIAN video ‘miming’ lagu Hindustan secara suka-suka membuka peluang besar kepada Kak Girl untuk menceburi bidang seni dengan lebih serius.

Pernah menjadi penyampai di stesen radio Best FM selama dua tahun, Kak Girl atau nama sebenarnya Nur Amira Maslan, 32, juga kerap diberikan peluang berlakon dalam drama selain baru selesai menjalani penggambaran filem berjudul Mawas.

Sebaik tamat kontrak bersama Best FM di Johor Bahru, Kak Girl kemudian membuat keputusan besar iaitu berhijrah ke Kuala Lumpur bagi memudahkannya memberikan tumpuan kepada lakonan.

“Agak sukar kembangkan bakat jika saya masih berada di Johor Bahru. Sebab itulah saya buat keputusan terus menetap di sini. Saya terpaksa berkorban sikit demi kerjaya yang diminati.

“Saya tidak kisah jika terpaksa berulang-alik dari sana ke Kuala Lumpur tetapi kos perjalanan agak tinggi. Oleh itu, saya memilih untuk pindah. Ia juga memudahkan saya dan pihak produksi,” katanya.

Kak Girl berkata, ada beberapa tawaran yang terpaksa ditolak kerana jarak perjalanan serta masa yang tidak sesuai. Namun, dia bersyukur kerana masih ada yang dapat dijayakan.

Kak Girl yang banyak membawa watak pembantu berkata, dia memasang impian diberikan watak yang lebih mencabar sekali gus dapat membuktikan bakatnya.

“Mungkin karakter saya yang ‘gila-gila’ menyebabkan sering diberikan watak wanita kepoh dan kelakar. Namun, saya sebenarnya teringin untuk bawa watak seperti ibu tiri jahat atau orang kelainan upaya.

“Saya juga aktif dengan pementasan teater di sekitar Johor Bahru. Jadi, kalau ada ruang dan peluang, saya teringin terbabit dengan pementasan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Walaupun pernah tular dengan video ‘miming’ dan rakaman itu dikongsikan Datuk Shah Rukh Khan, Kak Girl berkata, masih ramai yang tidak menyedari kehadirannya.

“Ramai tidak tahu saya sekarang sudah mula berlakon. Lainlah jika dalam setiap episod itu muka saya selalu muncul. Mungkin penonton akan sedar dan nampak.

“Bagaimanapun, saya tidak kisah. Saya akan terus berusaha dan melakukan yang terbaik kerana minat berlakon,” katanya yang tetap rindu dengan tugas sebagai penyampai radio.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 5:30 AM