PAULINE TAN LISHIN
PAULINE TAN LISHIN
Norhayati Nordin

Meskipun penggiat seni Melayu mendominasi industri hiburan tanah air, ruang untuk pembabitan pelbagai kaum tetap terbuka luas.

Ia dapat dilihat melalui platform pencarian bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) anjuran TV3/ TV9 yang menyediakan peluang itu.

Berbicara pembabitan pelbagai kaum dalam karier dan aktiviti seni, pengacara program CJ Wow Shop di 8TV, Pauline Tan Lishin sangat positif.

Pauline, 28, berkata platform mengetengahkan bakat untuk kaum lain seperti Cina dan India dalam karier seni tanah air masih ada.

“Generasi muda sekarang dilihat makin bersikap terbuka menggunakan platform disediakan itu.

“Saya masih ingat lagi, ketika awal pembabitan pada 2014, tidak ramai yang berani mencuba nasib. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini saya dapati jumlah peserta bukan Melayu yang menghadiri uji bakat kian bertambah,” katanya.

Pauline yang baru lima tahun membina karier seninya memberitahu selain mengacara, dia juga aktif sebagai pelakon.

“Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum berpeluang mempersembahkan

bakat lakonan dalam drama Melayu.


“Namun, saya fikir positif dan anggap belum ada rezeki. Mungkin saya perlu mempersiapkan diri dengan menguasai bahasa Malaysia.

“Setakat ini saya tiada masalah bertutur dalam bahasa Malaysia tetapi mungkin kena lebih berusaha untuk berjaya,” katanya.

Tidak gentar berhadapan saingan, Pauline berkata apa saja bidang kerjaya diceburi sudah pasti melalui senario itu.

“Saya lebih selesa memotivasikan diri supaya terus membuat persembahan terbaik sama ada sebagai pengacara atau pelakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 5:00 AM