ZIELA kesal tidak dapat memberi penghormatan terakhir buat Asmah. FOTO Instagram Ziela Jalil


PENERBIT Datuk Ziela Jalil meluahkan rasa kesal apabila tidak dapat memberi penghormatan terakhir buat ibu mentuanya, Asmah Abdullah, 90, yang meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi hari ini akibat sakit tua.

Ziela ketika dihubungi berkata, dia berhasrat untuk melawat arwah yang sedang tenat selepas pulang dari Pulau Langkawi namun tidak menjangka menerima perkhabaran duka terbabit.

Katanya, dia kesal kerana tidak dapat memberi penghormatan terakhir buat ibu mentuanya.

“Sebaik menerima berita pemergian mak, saya meminta anak yang berada di Kuala Lumpur untuk pulang ke Teluk Intan, Perak terlebih dulu namun mereka juga tidak sempat kerana tiba lewat 30 minit.

“Saya yang baru tiba dari Morocco malam tadi terpaksa pula bergegas ke Pulau Langkawi atas beberapa urusan pagi tadi.

“Ketika abang ipar memaklumkan keadaan mak tidak stabil, saya bercadang nak melawatnya selepas selesai urusan di Pulau Langkawi, namun tidak lama kemudian menerima mesej mengatakan mak sudah tiada,” katanya.

Menurut Ziela, ibu mentuanya itu seorang yang mengambil berat dan menyayanginya.

“Mak selalu mengambil berat mengenai saya. Ketika suami sakit dan dimasukkan ke hospital, dia sangat risaukan kehidupan saya dan anak jika berlaku apa-apa kepada suami.

“Dia memang mak yang mendoakan kesejahteraan anak dan cucunya. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini dia sudah tidak ingat,” katanya.

Katanya, dia sangat sedih dengan kehilangan ibu mentuanya kerana sudah lama tidak bertemu dan perancangan untuk balik ke kampung bertemu arwah tidak kesampaian kerana ada saja halangan.

“Saya ingatkan nak berjumpa dengannya pada Ramadan nanti, tapi hasrat ini juga tidak kesampaian,” katanya.

Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Teluk Intan, Perak selepas solat Asar.


SOFEA Jane sedih dengan hakikat pemergian ke rahmatullah ibunya dua hari lalu. FOTO Twitter Sofea Jane

Sementara itu, pelakon Datin Sofea Jane turut kehilangan ibu tercinta Noreen Abdullah pada 27 Mac lalu akibat terjatuh.

Sofea berkongsi perkhabaran duka itu menerusi akaun Twitternya, hari ini dan berharap orang ramai mendoakan serta memaafkan arwah.

"Saya terjaga pagi ini dengan hakikat sedih tidak akan dapat lagi berjumpa ibu.

“Ibu saya, Noreen Abdullah meninggal dunia pada Rabu lalu selepas terjatuh.

“Saya meminta kepada sesiapa yang mengenali ibu, maafkan andai kata arwah ada melakukan salah dan silap serta halalkan makan minumnya. Al-Fatihah,” tulisnya di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 8:33 PM