NOH sudah bertemu pihak tertentu untuk mengeluarkan video lama Mizz Nina. FOTO Zulfadhli Zulkifli
NOH sudah bertemu pihak tertentu untuk mengeluarkan video lama Mizz Nina. FOTO Zulfadhli Zulkifli
NOH sudah bertemu pihak tertentu untuk mengeluarkan video lama Mizz Nina. FOTO Rosdan Wahid
NOH sudah bertemu pihak tertentu untuk mengeluarkan video lama Mizz Nina. FOTO Rosdan Wahid
Ridzuan Abdul Rahman


VOKALIS kumpulan Hujan, Noh Salleh, 34, meminta pihak media dan industri seni supaya mengeluarkan video dan gambar lama isterinya, Mizz Nina, 39, yang tidak menutup aurat sebelum ini.

Noh berkata, mereka sudah bertemu pihak tertentu untuk mengeluarkan video lama Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman daripada siaran.

“Nina dah berusaha ketengahkan perkara ini dengan beberapa pihak.

“Tapi mengikut kata gurunya, jika dia dah berusaha tapi orang masih lagi memuat naik di internet, itu dikira luar kawalannya,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini dirinya, Noh mengakui dia kini lebih mengutamakan rumah tangga terutama isterinya berbanding perkara lain termasuk karier nyanyian.

Terbaru, Noh akan tampil menghasilkan dua lagu yang dicipta khas buat isterinya.

“Saya bercadang akan melancarkan single ini pada 1 Julai sempena ulang tahun kelahiran Nina.

“Jadi, sekitar bulan depan dan selepas menyambut Aidilfitri awal Jun, saya akan masuk studio untuk merakamkan lagu ini.

“Menariknya selain untuk ulang tahun kelahiran Nina, ia juga sempena ulang tahun perkahwinan kami yang ke-9 juga pada tarikh 1 Julai,” katanya kepada Harian Metro.

Noh berkata, lagu ciptaannya kebanyakannya menjurus berkenaan perasaan kasih sayangnya terhadap Nina dan ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan isterinya.

“Kalau projek Noh Salleh ini memang untuk dia dan bukan buat orang lain. Jika buat lagu cinta, Nina adalah rujukan saya.

“Memandangkan signifikan Julai dengan ulang tahun kelahiran Nina dan perkahwinan kami, maka tarikh ini dipilih untuk melancarkan single terbaru.

“Sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun ini, saya lancarkan single Debu Cahaya pada Januari dan dua lagi lagu pada Julai,” katanya.

Menurutnya, dia menggunakan modal sendiri bagi merakamkan lagu dan terpaksa melakukan secara berperingkat kerana sudah melaburkan duit untuk membuka perniagaan baju berjenama Hikari Rider.

“Alhamdulillah, baru nampak hasilnya. Kalau dulu saya hanya santai-santai tunggu undangan persembahan.

“Sekarang saya hanya nak sekitar 30 peratus pembabitan dalam muzik dan selebihnya adalah untuk keluarga.

“Nina sebenarnya tak terbabit dalam keputusan saya. Dia hanya banyak menasihatkan saya supaya menjadi Muslim yang baik setiap hari dan jangan lupa berdoa,” katanya.

Noh berkata, Nina tidak pernah meminta sesuatu yang di luar kemampuannya termasuk meminta kereta mewah.

“Dia tak pernah buat begitu. Minta duit belanja pun tak pernah sehingga membuatkan saya pelik.

“Tak dinafikan sebagai lelaki, takkanlah saya nak menumpang dia. Saya ada tanggungjawab untuk bagi dia makan.

“Tapi katanya okey, kamu hanya perlu bagi saya nafkah kerana ini terkandung dalam al-Quran. Jika al-Quran tak sebut, dia takkan minta. Sebagai suami takkanlah saya nak biarkan dia buat begini,” katanya yang akan cuba sedaya mungkin memenuhi keperluan isterinya.

Seperkara lagi, Noh mengakui kagum dengan kesungguhan isterinya yang tekun menyambung pengajian agama secara dalam talian di rumah.

“Kalau tengok Insta Storynya setiap hari, itu menunjukkan Nina sedang mengikuti kelas di Colombo.

“Apabila tiba masanya dan dia ada duit, dia akan pergi belajar dalam kelas di Colombo.

“Dia biasanya akan menjadikan saya dan pembantu rumah serta ustazah yang mengajar mengaji sebagai tempat untuk bercerita apa yang dipelajarinya bagi memenuhi tugasan pengajiannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 6:25 PM