NAZIM mempertaruhkan karya ciptaan Audi Mok dan Omar K, Cerita Kita. FOTO: Nik Hariff Hassan
Sudirman Mohd Tahir


PEMBABITAN pelakon Nazim Othman dalam bidang nyanyian mengundang pelbagai kritikan. Malah, ramai berang­gapan dia seharusnya fokus pada lakonan yang jauh lebih menyerlah.

Enggan mengalah dan tunduk dengan kata-kata negatif dilemparkan, Nazim, 35, atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman ingin terus membuktikan bakat yang ada. Selepas muncul dengan empat single dan kali terakhir dua tahun lalu menerusi lagu Kerana Cinta, terkini Nazim mempertaruhkan karya ciptaan Audi Mok dan Omar K, Cerita Kita.

“Saya seorang yang degil. Saya teruskan menyanyi sebab ada juga yang suka. Saya juga jenis setia dengan impian sendiri. Sebagai contoh, kalau saya nak A, saya akan buat apa saja sekalipun untuk mendapatkannya. Saya tidak mahu B atau C. Saya sangat dedikasi dalam impian.

“Dalam bidang ini, walaupun orang kata suara saya biasa-biasa saja, saya tidak boleh kata ‘biarlah’. Kita tidak boleh menolak kritikan orang. Semua itu kena ambil kira walaupun ia pedas. Kalau terus menolak, kita tidak akan boleh maju. Saya pun sudah menjadi matang dalam kehidupan peribadi dan sebagai selebriti.

“Jadi, saya semakin terbuka dengan kritikan. Saya tidak akan pernah puas hati. Saya akan sentiasa majukan diri dan buat selagi mampu. Kalau orang suka, alhamdulillah. Kalau tak suka, saya buat lagi. Sebab itu sekarang saya masuk kelas vokal,” katanya.

SECARA KEBETULAN

Ditanya mengenai perancangannya melancarkan single itu sehari selepas majlis pernikahan bekas isterinya, Bella Dally, Nazim berkata, ia berlaku secara kebetulan. Nazim menafikan jika lagu itu menceritakan perjalanan dan kisah hidupnya dengan bekas isteri.

“Saya rancang majlis ini memandangkan jadual kerja lapang pada hari ini (kelmarin). Saya anggap ia hanya kebetulan. Malah, sebelum ini pun beberapa kali saya terjumpa dengan bekas isteri dan calon suaminya ketika itu juga secara kebetulan di lokasi yang tidak dijangka.

“Mengenai lagu ini pula, ia langsung tiada kaitan dengan kami. Lagu ini sudah lama siap. Bella pun pernah dengar lagu ini dan memberikan komen.

“Jadi, kepada orang luar yang memberikan spekulasi saya buat lagu sebab galau dan sebab bekas isteri kahwin, tidak sama sekali. Hingga saat ini pun, kami baik-baik saja. Sehari sebelum kahwin pun, bekas mak mentua ada menghubungi saya. Tidak ada istilah panas atau gaduh,” katanya.

Menurut Nazim yang juga pelakon Lara Aishah, dia tidak pernah mengambil tahu mengenai lirik lagu yang dihasilkan Omar K itu, malah berpuas hati dengan hasilnya.

“Saya tak pernah tengok lirik lagu ini dan tidak beri apa-apa input pun. Saya hanya beritahu inginkan tema cinta. Bagi saya, cinta ini universal.

“Selepas dua minggu, baru saya tahu lirik. Saya memahami lirik lagu ini yang mana ia mengenai kisah cinta terhalang. Cuma, dalam konteks diri saya ia tidak ada kaitan langsung.

“Saya tidak ubah pun lirik, sebab menaruh sepenuh kepercayaan pada Omar K. Apabila saya dengar melodi dan lirik, ia kena. Untuk apa saya nak ubah? Saya sangat menghormati karya orang,” katanya.

Nazim juga berkongsi, ketika merakamkan lagu itu, ia dalam keadaan gembira. “Ketika proses rakaman, saya riang ria. Tak galau pun. Malah mereka minta saya supaya tidak terlalu gementar,” katanya.

SELESA SOLO

Walaupun bekas isterinya sudah kembali rumah tangga, Nazim me­ngakui dia masih belum bersedia untuk menamatkan zaman dudanya. Nazim berkata, selepas 10 bulan bercerai, hatinya masih kosong dan belum ada lagi mana-mana wanita yang cuba mendekati dirinya.

“Sekarang ini saya masih dalam fasa belum terbuka untuk mencari atau menerima pengganti. Saya perlu bagi sedikit masa untuk perbaiki diri terlebih dulu,” katanya.

Menurut Nazim, dia gembira dan mendoakan perkahwinan bekas isterinya itu bahagia.

“Jemputan secara gurauan ada, tetapi atas dasar menghormati keluarga sebelah sana, perkahwinan sesuatu yang besar dan saya pernah menjadi sejarah dalam hidup Bella, jadi tidak wajar untuk saya hadir. Walaupun mendapat jemputan rasmi sekali pun. Kalau berjumpa, boleh saja jumpa.

“Saya mendoakan semoga ikatan perkahwinan Bella dan suami kekal hingga ke jannah. Saya tidak ‘wish’ di media sosial kerana cukuplah orang tahu saya memang mendoakan kebahagiaannya. Malah pernah beritahu dia depan-depan perkara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 4:30 AM