SYAFIQ terima ketentuan jika jodohnya pelacur. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
Norhayati Nordin

“SAYA terima walaupun jodoh saya suatu hari nanti dengan seorang pelacur,” kata pelakon Syafiq Kyle.

Syafiq, 27, berkata, jika itu memang sudah takdir jodoh buatnya, siapalah dia untuk menolak ketentuan Allah SWT.

“Kalau dah jodoh (dengan pelacur), saya kenalah terima. Persepsi saya terhadap pelacur, mereka tetap manusia biasa yang inginkan kehidupan berkasih sayang.

“Siapa saya untuk labelkan mereka atau mengadili mereka kerana kita semua hanya manusia biasa,” katanya ketika ditemui media di majlis pelancaran drama Nur 2 lakonannya bersama Amyra Rosli, malam tadi.

Drama genre Islamik yang mengangkat kisah ‘penunggang agama’ itu mengisi slot Samarinda TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Syafiq yang sangat dikenali dengan watak Ustaz Adam menerusi drama itu meneruskan kesinambungan aktiviti amal untuk menarik golongan ‘wanita lorong’ kembali ke pangkal jalan dalam kisah Nur 2.

Mengulas bagaimana penerimaan ibunya jika dia benar-benar bertemu jodoh dengan pelacur, Syafiq berkata, dia perlu ikhlaskan hati.

Ditanya mengenai kebimbangannya jika Nur 2 gagal mencetus fenomena seperti siri yang terdahulu, Syafiq berkata, dia tidak kecewa.

Menurutnya, dia sudah membuat yang terbaik dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk drama itu.

“Saya takkan sedih jika penerimaan penonton untuk drama Nur 2 ini tidak sehebat siri terdahulu kerana sudah melakukan yang terbaik. Saya puas kerana semua yang saya lakonkan untuk watak Ustaz Adam dibuat secara ikhlas dan saya yakin penerimaanya pasti baik juga.

“Selama aktif berlakon, saya pernah berada dalam pelbagai situasi bekerja yang mana pernah melakukannya tidak begitu ikhlas, sekadar untuk karier dan macam-macam lagi. Tetapi, apabila saya bekerja dengan sepenuh hati yang ikhlas seperti untuk drama Nur ini, perasannya sangat positif dan saya sentiasa yakin ia akan berjaya,” katanya.

Drama arahan dan skrip oleh Shahrulezad Mohameddin itu turut menampilkan lakonan Azhan Rani, Noorkhiriah, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Azar Ami dan Eyra Hazali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 10:57 AM