AZAR sanggup melakonkan watak Juita bukan untuk mengejar popular dan lebih dikenali. Foto Khairul Azhar Ahmad
Norhayati Nordin


"TERUS-TERANG, saya gementar nak tahu reaksi penonton selepas mereka menyaksikan watak Juita dalam drama Nur 2,” kata pelakon wanita meningkat naik, Azar Azmi.

Azar, 30, ketika ditemui semalam berkata, dia juga sudah pun mendapat pelbagai kecaman dan kritikan pedas daripada warganet di media sosial.

"Saya gementar kerana sudah berusaha melakonkan watak Juita ini sebaik mungkin tetapi tak tahulah sampai atau tidak ke hati penonton.

"Ditambah, bukan mudah sebenarnya untuk saya melakonkannya kerana perlu menjadi diri orang lain," katanya.

Menurut Azar atau nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi, karakter diri Juita itu sama sekali bukan dirinya.

"Karakter Juita ini bukan diri saya dan untuk melakonkannya diakui membuatkan diri jadi terlalu penat.

"Sangat penat sebenarnya untuk kita jadi diri orang lain dalam melakonkan sesuatu watak berbanding diri sendiri," katanya.

Mengulas juga babak panas dilakonkannya sebagai Juita, Azar menjelaskan ia dilakonkan secara permainan kamera.

"Cuma, tunggu sajalah bagaimana penerimaan penonton nanti. Apapun, semua yang saya lakonkan ini kerana tuntutan kerja semata-mata.

"Apapun, kecaman dan kritikan penonton untuk kerakter Juita ini saya akan terima dengan baik dan positif.

"Malah, yang pasti saya sanggup melakonkan watak Juita bukan untuk mengejar popular dan lebih dikenali," katanya.

Mengulas penerimaan keluarga dan kekasihnya dengan keputusan berani untuk melakonkan karakter Juita, Azar memberitahu dia mendapat sokongan.

"Teman lelaki tidak menghalang kerana dia tahu apa yang saya buat untuk Juita ini hanyalah lakonan.

"Begitu juga, keluarga yang memahami kerana wujud permainan kamera untuk menghasilkan sesuatu babak panas,” katanya.

Nur 2 mula disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 jam 10 malam tadi yang diarahkan Shahrulezad Mohameddin,

Selain Azar, barisan pelakon lain dalam drama popular itu ialah Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azhan Rani, Noorkhiriah dan Fatimah Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 6:45 PM