NOORKHIRIAH bersama anak angkatnya, Nur yang baru berusia empat bulan. FOTO Instagram Noorkhiriah
NOORKHIRIAH bersama anak angkatnya, Nur yang baru berusia empat bulan. FOTO Instagram Noorkhiriah
Norhayati Nordin


"MEMANG saya pilih nama Nur ini untuk dia," kata pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie mengenai anak angkatnya, seorang bayi perempuan yang kini berusia empat bulan.

Noorkhiriah, 43, berkata dia memang selesa memilih nama yang pendek kerana mudah disebut dan baik maksudnya.

"Saya sangat suka pada nama Nur ini yang bermaksud cahaya. Bila disebut pula, sangat lembut bunyinya.

"Apapun, kehadiran 'baby' Nur dalam keluarga saya sudah melengkapkan kami. Impian saya dan suami untuk memiliki anak perempuan termakbul akhirnya.

"Selama empat bulan ini, menjaga Nur sangat mudah. Dia bayi yang senang dijaga dan tak banyak ragam," katanya.

Menurutnya, kini dia dan suami semakin membiasakan diri dengan jadual rutin yang baru kerana penjagaan bayi memerlukan pemerhatian khusus.

Noorkhiriah mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul Ahtan sejak 13 tahun lalu dan dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Hudhaifah, 10, dan Muhammad Yusoff, 8.

Mengulas penerimaan anaknya, Noorkhiriah berkata, Yusoff yang sangat teruja. Malah, bersikap lebih melindungi adiknya.

Nur dilahirkan pada 10 November 2018 dan bayi itu menjadi milik Noorkhiriah selepas diperkenalkan seorang teman sebaik dilahirkan di hospital.

"Harapan saya, semoga Nur dapat dibesarkan sebaik mungkin dengan sepenuh kasih sayang dan menjadi anak solehah yang akan mendoakan ibu bapa," katanya.

Noorkhiriah kini muncul dengan drama Nur 2 di TV3 sebagai watak Aisyah berganding dengan Azhan Rani sebagai Ustaz Syed Hamadi.

Drama Nur 2 mengisi slot Samarinda disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 3:13 PM