MISHA, Noryn dan Sarah buatkan penonton tidak berganjak dari kerusi.
Sudirman Mohd Tahir

HEBAT, menghiburkan dan memukau! Itu gambaran keseluruhan konsert Soul Sisters yang melabuhkan tirainya kelmarin selepas dipentaskan selama dua malam bermula Jumaat lalu.

Konsert trio menggabungkan tiga pemilik vokal hebat tanah air iaitu Noryn Aziz, Misha Omar dan Siti Sarah percaturan berbaloi buat penganjur, Edd Razhe Entertainment (ERE).

Dari segmen pembukaan hingga penutup dengan 33 lagu dipersembahkan secara solo dan medley tidak sedikit pun membuatkan penonton berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Malah, jeritan, nyanyian bersama dan tepukan gemuruh mengiringi setiap persembahan mereka. Itu membuktikan Soul Sisters berjaya membawa penonton larut dalam nyanyian penuh jiwa mereka.

Bagi Misha, jerih-perih sepanjang tiga minggu menjalani latihan sebelum konsert terbayar dengan sokongan padu penonton.

“Apabila konsert berakhir, ia memberikan perasaan bercampur-baur. Gembira, bebas, segala susah payah selama hampir tiga minggu kebelakangan ini terbayar.

“Kalau nak kata puas hati, kami berharap boleh buat yang lebih baik jika diberi kesempatan untuk buat persiapan lebih lama lagi.

“Pada masa sama, sedih kerana akhirnya kami berpecah dan bergerak solo kembali. Jadi, ia memberikan pelbagai rasa,” katanya.

Sementara itu Noryn berkata, konsert itu memberikan pengalaman tersendiri untuknya apatah lagi mengalami masalah suara sepanjang konsert berlangsung.

“Dalam banyak persembahan saya buat, tidak pernah kehilangan suara. Jadi, konsert ini menjadi kenangan yang manis dan pahit dalam kerjaya.

“Macam pagi ini (kelmarin) saya menghubungi Sarah, ayat pertama keluar dari mulutnya adalah ‘it’s a beautiful voice’. Hari terakhir baru suara saya baik sedikit berbanding hari sebelumnya.

“Saya berusaha mencari jalan bagi memastikan suara kembali okey terutama dalam mendapatkan bunyi dan nota yang betul. Ia bukan mudah, tapi berbaloi. Jadi, hari ini (kelmarin) ia kedengaran lebih baik, jadi saya bagi ‘all out’,” katanya.

Bagi Sarah pula, melihatkan reaksi penonton yang ‘sporting’ adalah momen terbaik setiap kali membuat persembahan.

“Dalam konsert ini kita ada banyak segmen dengan pelbagai jenis lagu. Ternyata, penonton yang hadir terhibur dengan rangkaian lagu dipersembahkan. Mereka bukan saja menyanyi, tetapi bersorak, berdiri dan menari. Ini adalah momen yang sukar dicari.

“Dari awal hingga akhir, kami sudah berusaha sebaik mungkin. Kami bermula daripada kosong dan akhirnya berjaya membentuk gabungan yang saya sendiri tidak pernah terfikir perkara ini.

“Terima kasih kepada Abang Edd, Datuk Syafinaz dan semua pasukan yang mempercayai kredibiliti kami untuk menjayakan konsert ini,” katanya.

Antara lagu yang dipersembahkan pada konsert di bawah pimpinan pengarah muzik, Datuk Nasser Abu Kassim itu adalah Lady Marmalade, Cinta Adam & Hawa, Fantasi O Realiti, Jangan Kau Mimpi, Mulanya Di Sini, Kali Pertama, Akhirnya Kini Pasti, Getaran dan Khayalan.

Selain itu, lagu Un-Break My Heart, Run To You, Listen, Cinta Di Akhir Garisan, I Will Survive, Survivor dan Respect.

Apa yang istimewa juga, konsert itu turut menampilkan satu segmen khas tribute kepada kumpulan artis wanita popular Malaysia, Feminin dan penyanyi terkenal lain seperti Fairuz Hussein, Famiza, Freedom, Anita Sarawak serta Black Dog Bone.

Soul Sisters penyanyi terbaik

Sementara itu, Pengarah Urusan ERE, Edd Razhe, menyifatkan pemilihan Misha, Noryn dan Sarah tepat bagi menjayakan konsert itu sekali gus kemunculan semula dalam lapangan muzik selepas ditinggalkan 20 tahun, berbaloi.

Malah, Edd berkata, tiga figura itu bukan saja hebat dari segi vokal, malah meletakkan mereka penyanyi terbaik dalam negara.

“Mereka buatkan saya ingin kembali aktif dalam bidang ini. Itu yang saya boleh cakap. Sejujurnya, saya sangat ‘respect’ dengan kerja keras dan komitmen mereka.


KETUA Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (berkot gelap) dan Edd (bertopi) bersama ketiga-tiga penyanyi .

“Saya rasa berbaloi dan bersyukur dapat bekerjasama dengan mereka. Mereka pun ingin bekerja dengan saya.

“Apa boleh dikatakan, mereka penyanyi terbaik dalam negara yang kita ada. Saya kena cakap ini. Memang sangat bagus dan berharap dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang di tempat lain pula,” katanya.

Ed yang sedikit emosi dan sebak melahirkan rasa bangga terhadap ketiga-tiga mereka.

“Saya sedikit emosi, sebab ini yang terakhir selepas semua orang bekerja keras hampir enam bulan. Ia bukan untuk saya, tetapi mereka sebagai penyanyi.

“Macam mana pun saya bagi masa dan apa saja, mereka ambil tanggungjawab penuh. Saya sangat hargai.

“Selepas 20 tahun meninggalkan bidang muzik, saya kembali dan ini hasil mereka berikan, ia sesuatu yang hebat dan membanggakan. Saya sangat ‘respect’ pada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:00 AM