GANDINGAN mantap Ayda Jebat dan Shukri Yahaya dalam Asalkan Dia Bahagia menarik perhatian ramai. FOTO Ihsan Ayda Jebat
GANDINGAN mantap Ayda Jebat dan Shukri Yahaya dalam Asalkan Dia Bahagia menarik perhatian ramai. FOTO Ihsan Ayda Jebat
Norhayati Nordin


PELAKON dan penyanyi Ayda Jebat tidak menyangka drama Asalkan Dia Bahagia lakonannya berjaya menambat hati penonton dari Indonesia.

Ayda, 27, berkata maklum balas kebanyakan penonton drama itu di platform digital iaitu YouTube datangnya dari negara jiran berkenaan.

Katanya, dia terkejut apabila mendapat tahu penonton drama Asalkan Dia Bahagia di saluran YouTube TV3 dan Drama Sangat kebanyakannya dari Indonesia.

"Tak sangka, ramai juga warganet dari Indonesia yang kini menonton dan meminati drama Melayu dari negara ini.

"Kalau dulu, masyarakat kita gemar menonton sinetron Indonesia. Tetapi, sekarang drama Malaysia pula diterima baik penonton di sana.

"Saya melihat situasi ini sebagai sangat positif apabila karya seni tempatan berjaya mendapat tarikan penonton luar," katanya.

Antara penonton Indonesia itu datangnya dari Jakarta, Acheh, Sumatera, Bandung, Kepulauan Bangka, Kalimantan dan beberapa kawasan lagi.

Mengenai gandingannya yang dianggap sangat serasi dengan pelakon Shukri Yahaya, penyanyi lagu Temberang itu berkata, mereka sudah memberi komitmen sebaik mungkin.

"Saya dan Shukri profesional bekerjasama dalam drama ini untuk melakonkan watak masing-masing sebagai Adira Imani dan Haris Aryan.

"Apapun, terima kasih kepada semua penonton yang menerima lakonan kami dengan positif dalam drama Asalkan Dia Bahagia ini," katanya.

Menurutnya, dia dan Shukri juga berusaha tidak melakonkan watak mereka keterlaluan dan secara terlalu mencuba.

Sehubungan itu, untuk episod 21 drama Asalkan Dia Bahagia yang disiarkan pada 5 April lalu kini #24 on trending di YouTube Malaysia.

Memuatkan 28 episod, Asalkan Dia Bahagia diarahkan Jamal Khan disiarkan slot Akasia TV3 sejak 8 Mac lalu.

Selain Ayda dan Shukri, drama itu dibintangi pelakon lain seperti Idris Khan, Nadiyah Shahab, Fatin Afeefa, Esma Daniel, Marissa Yasmin dan Safura Yaacob.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 4:34 PM