KUMPULAN Raihan dianggotai (dari kiri) Amran Ibrahim, Che Amran Idris dan Abu Bakar Md Yatim terkilan kerana kurang dikenali oleh peminat generasi baru. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


KUMPULAN Raihan yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim meluahkan perasaan terkilan kerana kurang dikenali oleh peminat generasi baru.

Biarpun sudah mencipta pelbagai kejayaan termasuk mengadakan persembahan di luar negara sejak ditubuhkan pada 1997, nama Raihan kini agak tenggelam dalam industri seni tanah air.

Che Amran berkata, dia tidak menafikan perasaan sedih itu memang ada kerana peminat kini tidak mengenali siapa Raihan.

"Nak tak nak kami kena terima hakikat keadaan sekarang sudah berbeza berbanding dulu.

"Namun pada masa sama, kami tetap bersyukur kerana generasi kanak-kanak masih tahu lagu Raihan. Cuma mereka kurang kenal siapa penyanyinya," katanya.

Raihan juga pernah merancang mengadakan konsert besar-besaran tahun lalu sempena meraikan ulang tahun ke-22 penubuhan mereka.

Bagaimanapun Che Amran berkata, kesukaran mendapatkan penaja membuatkan impian mereka tertangguh seketika.

Apapun mereka bersyukur menjadi pilihan Ustazah Sharifah Khasif Syed Badiuzzaman untuk bergabung menjayakan Malam Kesenian & Kebudayaan Qasidah Night anjuran Pertubuhan Seni Qalam dan Academy Sharifatunna Quranic Arts serta disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Istana Budaya.

Persembahan yang diuruskan oleh SK Production Sdn Bhd & DVA Event and Management berkonsepkan makan malam itu akan berlangsung di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 27 April ini.

"Kadangkala lain yang dirancang lain pula jadinya kerana kami gagal memenuhi impian itu.

"Tapi pembabitan dalam Qasidah Night juga amat menarik kerana ia julung kali menampilkan elemen nasyid dan qasidah.

"Apabila Ustazah Sharifah Khasif menawarkan peluang ini, ia sesuatu yang bagus dan membawa dimensi baru dalam persembahan berbentuk dakwah," katanya.

Menurutnya, projek julung kali menggabungkan Raihan dengan artis wanita itu tercetus apabila mereka membuat pelayaran ke Acheh pada hujung tahun lalu.

"Sharifah Khasif tertarik melihat sambutan peminat yang mengikuti trip bersama Raihan dan melahirkan minat untuk bekerjasama.

"Dengan hanya sekali perbincangan, idea ini terus menjadi kenyataan," katanya.

Che Amran berkata, sekiranya mendapat sambutan, mereka bercadang mahu membawa projek itu ke luar negara pula.

"Kami percaya peminat pasti tertarik menikmati persembahan Raihan dan Sharifah Khasif.

"Buat masa ini biarlah Raihan teruskan dengan persembahan ini kerana jika nak beraksi secara solo, banyak kos perlu dicari," katanya.

Qasidah Night turut menampilkan Datuk Jamal Abdillah sebagai artis undangan dan tiket dijual pada harga RM300.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 8:33 PM