ERWIN (kiri) dan Atrez. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Syafil Syazwan Jefri


RAMAI penyanyi mempertaruhkan kelainan demi memastikan kehadiran mereka disedari peminat. Kelainan itu jugalah yang akan memastikan sama ada karya yang dijual mempunyai nilai atau dilihat sama saja seperti apa yang pernah disajikan dalam industri sebelum ini.

Bagi kumpulan duo Erwin Dawson & Atrez, mereka mengambil langkah berani dengan memperkenalkan single terbaharu berjudul Senang. Atrez yang juga pencipta lagu itu berkata, Senang mengisahkan pelbagai cabaran dalam hidup manusia.

“Bercakap soal genre, Senang lebih kepada R&B namun diselitkan elemen funk untuk jadikannya lebih rancak. Secara ringkasnya, saya hasilkan Senang untuk menjadi definisi kepada erti sebenar sebuah kehidupan dan bagaimana manusia berdepan pelbagai situasi dalam kehidupannya,” katanya.

Menurut Altrez, Senang juga mesra telinga dan sangat dekat dengan jiwa pendengar.

“Lirik lagu Senang mengupas situasi sewaktu mahu berkahwin apabila kita kena kumpul duit, melakukan persediaan dan macam-macam lagi. Ia sesuai dengan jiwa anak muda.

“Melodi lagu ini juga mudah melekat di hati pendengar dan boleh diterima ramai,” katanya.

Ditanya mengenai kelainan yang ditampilkan dalam lagu Senang, Atrez berkata, mereka menggunakan teknik falsetto pada bahagian nyanyian Erwin.

“Menerusi pemerhatian saya, belum ada lagi lagu yang mempertaruhkan teknik falsetto dalam nyanyian sepenuhnya. Jadi, kami nak jadikan itu sebagai kelainan,” katanya.

Bagi Erwin pula, satu cabaran buatnya apabila perlu menggunakan teknik falsetto.

“Ia memerlukan teknik yang betul terutama pernafasan. Bukan mudah tetapi saya sudah berusaha merealisasikannya sebaik mungkin.

“Kini, saya gemuruh menantikan reaksi pendengar,” katanya. Katanya, walaupun agak kekok, teknik nyanyian itu sesuai dengan lagu terbabit.

“Tak semua lagu boleh menggunakan teknik falsetto. Memandangkan belum ada lagu sebegini sebelum ini, kami kena bekerja keras dan pastikan ia berjaya. Saya yakin ramai dapat terima lagu ini dan akan menyukainya,” kata Erwin.

Sebelum ini Erwin Dawson & Atrez pernah memperkenalkan kumpulan duo mereka sebagai A-OK dan menghasilkan dua single iaitu Bujeng dan Terbaik. Video muzik Senang masih dalam pembikinan dan khabarnya Altimet hadir sebagai penampilan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 4:30 AM