KHAI Bahar (kiri), Wany Hasrita dan Sufian Suhaimi pada sidang media Konsert Trio 2019 di Hard Rock Cafe (HRC), Hotel Concorde. Foto Aswadi Alias.
KHAI Bahar (kiri), Wany Hasrita dan Sufian Suhaimi pada sidang media Konsert Trio 2019 di Hard Rock Cafe (HRC), Hotel Concorde. Foto Aswadi Alias.
Sudirman Mohd Tahir


PADA usia kerjaya seni masih hijau atau lebih tepat belum mencecah lima tahun, tiga penyanyi yang pernah digelar Budak Baru Nak Up (BBNU) ini mampu berbangga apabila buat pertama kalinya bakal menjayakan konsert jelajah di empat negeri.

Pemilihan tiga anak muda ini dianggap tepat apatah lagi nama mereka antara yang masih menjadi siulan dan igauan peminat selain berjaya mengekalkan populariti masing-masing.

Membentuk gabungan trio dalam persembahan berskala besar kelak, Sufian Suhaimi, Wany Hasrita dan Khai Bahar menganggap itu adalah kesempatan dan peluang terbaik mereka untuk menonjolkan bakat sebenar.

Tolak tepi soal usia pembabitan dalam bidang ini dan cakap-cakap orang mengenai kredibiliti mereka selama ini, apa yang pasti persembahan yang diberi nama Konsert Trio itu bukanlah percuma.

Ini membuktikan nama mereka relevan untuk beraksi pada acara konsert berbayar dan perkara itu bakal menjadi cabaran pada diri masing-masing untuk memberikan yang terbaik.

Sufian, 27, berkata, dia akan mencari formula baru bagi membezakan persembahan biasa dengan konsert itu nanti.

Malah, Sufian yang kini muncul dengan single Mencuba menjanjikan persembahan terbaik dan mahu penonton yang hadir terhibur.

“Apabila bercakap mengenai konsert, sudah pasti penonton inginkan sesuatu yang berbeza. Jadi, pendekatan juga tidak boleh sama dengan persembahan biasa. Itu yang saya perlu cari mulai sekarang.

“Saya mahu penggunaan pentas dan persembahan nanti seiring. Saya mahu penonton terhibur dan bukan datang duduk semata-mata.

“Ia adalah tanggungjawab dan tugas berat untuk saya. Bukan sesuatu yang mudah untuk orang baru seperti saya diberi kepercayaan besar seperti ini. Namun, saya anggap ia rezeki dan peluang keemasan untuk menjadi lebih baik,” katanya.

PERKONGSIAN Serina mengenai penampilan dirinya yang sudah berhijab menerusi akaun Instagram miliknya.
PERKONGSIAN Serina mengenai penampilan dirinya yang sudah berhijab menerusi akaun Instagram miliknya.

Sebagai persediaan menjelang konsert yang bermula pada 13 Julai di Expo @ Danga City Mall, Johor Bahru, Sufian berkata, dia akan memberi fokus kepada vokal.

“Sebenarnya, setiap bulan saya menghadiri kelas vokal dengan beberapa guru vokal. Kiranya, kelas ini akan berterusan hingga konsert malah selepas itu juga.

“Sejujurnya, perasaan bercampur baur apabila dipilih menjayakan konsert ini. Saya fikir kalau bukan sekarang, bila lagi. Peluang tidak selalunya datang. Tinggal lagi, saya harus buat yang terbaik dan tidak mahu mensia-siakan peluang ini,” katanya.

Menurut Sufian, dia bakal mempersembahkan semula lagu Di Matamu versi Anugerah Juara Lagu ke-33 lalu namun akan ada sedikit kelainan.

Wany kini lebih yakin

Sementara itu, Wany yang menjadi satu-satunya bunga pada konsert itu mengakui pemilihannya ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Namun, pada masa sama Wany, 27, atau nama sebenarnya Nursyazwany Hasrita Hasbullah berasa takut kerana ini julung kalinya dia beraksi di pentas konsert.

“Menjayakan konsert adalah impian setiap penyanyi. Rasa macam mimpi apabila dipilih. Meskipun wujud perasaan takut, saya percaya ini peluang terbaik untuk belajar.

“Saya sangat teruja dengan konsert ini dan akan bekerja keras mempersembahkan yang terbaik. Bukan saja menghadiri kelas vokal, saya juga belajar menari dan seni persembahan.

“Pendek kata, persediaan sudah bermula. Biarlah orang cakap masih banyak masa sebelum menjelang konsert, saya tidak mahu leka. Saya kena manfaatkan sebaiknya peluang ini,” katanya.

Menurut Wany, dia juga sudah tidak gentar memikirkan persepsi segelintir pihak yang mendakwa dirinya tidak boleh menyanyi secara langsung dengan baik.

“Diakui selepas AJL 32, saya berasa sedih dan hampir putus asa. Ia gara-gara kecaman dan kritikan yang dilemparkan netizen. Selama beberapa bulan juga saya ‘sakit’ dan takut untuk menyanyi secara langsung.

“Namun, selepas muncul di program Big Stage berduet dengan Tajul, Anugerah Skin dan separuh akhir Muzik Muzik 33, saya jadi semakin kuat dan berasa lebih yakin. Ketika itu, saya sudah tidak peduli dan takut lagi dengan cakap-cakap orang.

“Jadi, untuk konsert ini saya akan buktikan saya boleh menyanyi dengan baik. Saya ingatkan diri, kena berani dan tidak boleh mengalah,” katanya.

Khai janji tak gementar

Bagi Khai, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, apa yang menjadi keutamaan adalah vokal dan stamina.

Paling penting kata Khai, dia mahu menghilangkan rasa gementar kerana ia hanya mengganggu persembahan.

“Memandangkan ini konsert sulung saya, jadi saya perlu beri tumpuan dan fokus sepenuhnya. Saya kena beri keutamaan terhadap konsert ini dulu terutama dari segi vokal dan stamina.

“Apa yang pasti, saya ingin tonjolkan kelainan dalam persembahan. Ini peluang terbaik saya untuk tunjukkan kepada peminat.

“Saya juga mahu buang rasa malu.

“Saya juga tidak mahu janjikan sebarang kejutan. Paling penting, saya ingin berikan yang terbaik. Malah, itu yang peminat harapkan daripada saya, Wany dan Sufian,” katanya.

Menurut Khai, dia juga berjanji tidak akan gementar seperti yang terjadi di AJL 32 dan 33 lalu.

“Diakui kelemahan saya adalah cepat gementar kalau membabitkan persembahan siaran langsung. Memang akan jelas ketara. Namun, untuk konsert ini, saya yakin ia tidak akan berlaku kerana ia bukan siaran langsung.

“Saya hanya mahu menghiburkan penonton secara bersahaja supaya masing-masing suka. Dengan cara itu, saya dapat mengawal rasa gemuruh,” katanya.

Dalam konsert itu nanti mereka akan menyanyikan empat lagu solo, dua atau tiga lagu duet dan dua lagu secara trio.

Empat lokasi konsert itu adalah Expo @ Danga City Mall, Johor Bahru (3 Julai), Stadium SUKPA, Kuantan (17 Ogos), Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar (5 Oktober) dan Stadium Malawati, Shah Alam (2 November).

Tiket menyaksikan konsert sudah mula dijual sejak Isnin lalu dan boleh didapati di laman web beli-belah Shoppe.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 7:00 AM