X
GABUNGAN tiga suara yang mempu menggetarkan jiwa penonton. FOTO Muhaizan Yahya
GABUNGAN tiga suara yang mempu menggetarkan jiwa penonton. FOTO Muhaizan Yahya
Farah Suhaidah Othman


HAJAT penyanyi bersuara emas, Datuk Jamal Abdillah untuk membawa gandingan ‘tiga suara’ ke negeri kelahirannya menjadi kenyataan selepas konsert itu berlangsung meriah di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Selepas sambutan hangat pada Konsert Tiga Suara di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur tiga tahun lalu, cubaan Jamal untuk membawa magis paduan suaranya bersama dua legasi zaman 90-an, Zamani dan Ameng di luar Lembah Klang disifatkan berjaya kerana menghimpunkan peminat daripada pelbagai lapisan usia.

Bak kata Ameng dalam nada berseloroh sebelum memulakan nyanyian solo menerusi lagu Bougenvilla dan Sepi Tanpa Cinta, inilah konsert pertama disertai yang paling bersifat kekeluargaan.

JAMAL tiada tandingan. FOTO Muhaizan Yahya
JAMAL tiada tandingan. FOTO Muhaizan Yahya

Pembukaan konsert itu menyaksikan Ameng membawakan lagu popular Jamal iaitu Mati Dalam Hidup yang diakuinya bait-bait lirik lagu itu banyak membawa pengajaran dalam hidupnya sebelum beliau menyanyikan lagu popularnya ketika dalam kumpulan Spring berjudul Sejiwa.

Zamani kemudian menyusul dengan lagu Syair Si Pari-Pari dan Maria Mariana sebelum tepukan gemuruh penonton yang ternanti-nanti penyanyi negeri kelahiran mereka mendendangkan lagu Aku Penghibur dan Kau Lupa Pada Janji.

Jamal turut tampil bertenaga menerusi lagu etnik, Ghazal Untuk Rabiah dan pop, Secupak Dua Cupak.

Buat julung kalinya, Raja Pop itu cuba mengintai peluang memperdengarkan lagu baru yang berjudul Pura-Pura secara eksklusif bagi melihat penerimaan penonton terhadap lagu berkenaan dan ternyata penonton terbuai dengan suara gemersik itu.

AMENG masih berbisa. FOTO Muhaizan Yahya
AMENG masih berbisa. FOTO Muhaizan Yahya

Gandingan tiga penyanyi itu ketika berinteraksi membuatkan suasana gamat dengan hilai tawa sebelum mendendangkan lagu Isabella 98.

Pesona tiga penyanyi itu tidak segan silu dan bersikap terbuka ketika bergurau senda tentang sisi gelap mereka pada ketika dulu di khalayak ramai membuatkan suasana lebih santai.

Jamal kemudian hadir secara solo dan menguji vokalnya yang masih berbisa menerusi lagu spontan tanpa iringan muzik dendangan P Ramlee, Barang Yang Lepas Jangan Dikenang membuatkan penonton terpukau seketika sebelum mengalun lagu permintaan ramai, Azura.

Zamani tidak kurang hebatnya apabila menguji ketinggian suara jantannya menerusi lagu Jamal, Derita Cinta sebelum tampil secara duet bersama Ameng mendendangkan lagu Jika Kau Rasa Getarnya.

ZAMANI antara penyanyi terbaik era 1990-an. FOTO Muhaizan Yahya
ZAMANI antara penyanyi terbaik era 1990-an. FOTO Muhaizan Yahya

Antara lagu lain yang dinyanyikan secara solo termasuk medley Nur Kasih dan Manisnya Rindu, Kembali Terjalin, Syair Si Pari-Pari dan Kembali Merindu.

Kemerduan suara secara solo daripada Ameng turut tidak menghampakan dengan barisan lagu popular seperti Romantis dan Sepi Tanpa Cinta.

Tidak banyak kelainan yang dilakukan Jamal pada Konsert Tiga Suara kali ini kerana beliau turut menyanyikan lagu Ziana Zain, Kalau Mencari Teman namun showmanship yang ditampilkan mendapat sorakan gemuruh penonton.

JAMAL diiringi anaknya, Osama Yamani yang bermain gitar. FOTO Muhaizan Yahya
JAMAL diiringi anaknya, Osama Yamani yang bermain gitar. FOTO Muhaizan Yahya

Sebagai selingan, Jamal mengundang anaknya, Osama Yamani untuk menyampaikan beberapa lagu bersama kumpulan Radioactive sebagai pendedahan kepada bakat muda itu membuat persembahan di khalayak ramai.

Osama turut mencuri tumpuan bermain gitar tatkala berduet bersama bapanya menerusi lagu Seniman Menangis.

Konsert Tiga Suara yang berdurasi dua jam 45 minit menutup tirai dengan paduan empat suara termasuk Osama dengan lagu rancak milik Jamal, Terharu dan Gadis Melayu.

Konsert yang dibawakan syarikat Jamal, Bijamal Event itu sekali lagi menggunakan sentuhan magis pengarah muzik Raja Mohd Sham dan disaksikan kira-kira 5,000 peminat tiga legasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:00 AM