ROSTAM (kiri) teruja mengendalikan Magnum Opus 40 tahun M Nasir Kembara Ke Solo Siri 2, Sabtu ini.
Ramlah Zainal


PROGRAM bual bicara Magnum Opus 40 tahun M Nasir Kembara Ke Solo Siri 1 yang diadakan pada 2017 kembali dengan Siri 2 dalam skala lebih besar akan diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut bermula jam 2 petang, Sabtu ini.

Program anjuran Sahabat M Nasir, Roman Abadi Sdn Bhd dan Magnus Works Production itu bertemakan ‘Search, Wings dan Rock N’ Roll’ yang akan mengupas kisah kebangkitan era muzik rock di Malaysia pada awal 1980-an dengan memfokuskan dua kumpulan rock legenda tanah air iaitu Search dan Wings.

Datuk M Nasir adalah individu yang bertang­gungjawab membawa Search ke dalam industri muzik Malaysia selain meletakkan Wings ke satu tahap tinggi menerusi album dan lagu yang diterbit serta dicipta untuk mereka.

M Nasir juga bertang­gungjawab mencipta puluhan lagu dan lirik kedua-dua kumpulan itu. Beliau juga menerbitkan tujuh daripada 12 album studio Search dan empat daripada 11 album studio Wings.

KUMPULAN Wings.

Beliau turut menerbitkan satu daripada dua album Double Trouble yang menggabungkan Search dan Wings.

Moderator program berkenaan, Rostam Said berkata, diberi peluang mengendalikan program berkenaan adalah penghargaan buat dirinya.

“Secara peribadi, saya memang meminati dan membesar dengan lagu-lagu ciptaan M Nasir. Jadi, apabila ditawarkan menjadi moderator program ini, saya tidak melepaskan peluang keemasan ini,” katanya yang juga bekas Pengurus Saluran Astro Warna dan Pengurus Program Era FM dan Sinar FM.

Rostam berkata, dia berharap semua peminat setia M Nasir serta Search dan Wings tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan program bual bicara terbabit.

“Ini peluang untuk peminat bertentang mata membicarakan apa yang berlaku pada awal 1980-an sehingga kemunculan dua band rock yang paling lama bertahan dan kisah kebangkitan muzik rock tanah air ketika itu.

“Ramai orang salah faham dengan M Nasir dan menganggapnya sombong, tapi hakikatnya beliau tidak begitu,” katanya.

KUMPULAN Search.

Selain M Nasir, barisan panel terdiri daripada penyanyi Wings, Datuk Awie; pemain bass Search, Nasir Daud; bekas pengurus Wings, Bob Lokman dan pengarah filem dan penulis lirik, Nasir Jani.

Apa yang menarik, program ini turut menampilkan persembahan eksklusif M Nasir selama sejam pada jam 5 petang diringi kumpulan The Gong yang dianggotai pemuzik profesional seperti Nan (gitar), Rafi (gitar), Kelly (bass), Ujang (dram) dan Firdaus (keyboard).

Mereka akan membawakan lagu Search dan Wings ciptaan M Nasir dalam rendisi tersendiri. Pengisian bual bicara dan persembahan eksklusif dalam ruang yang intim dijangka mampu memberi kepuasan kepada kira-kira 600 penonton dan menjadi suatu yang diingati peminat industri muzik tempatan.

Tiket sudah mula dijual sejak 20 Februari lalu dengan harga RM160 (aras bawah), RM140 (aras bawah) dan RM120 (aras atas).

Kaunter tiket juga akan dibuka di ruang legar Auditorium DBKL pada jam 10 pagi Sabtu ini. Maklumat lanjut sila layari Instagram sahabatmnasir Facebook sahabatmnasirofficial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:30 AM