UYAINA perlu menjalani rawatan susulan secara berkala sebulan sekali. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam


"SAYA masih tidak boleh terima kenyataan apabila pada usia ini disahkan menghidap komplikasi jantung," kata pengacara Uyaina Arshad yang mengalami penyakit Supraventricular tachycardia (SVT) dan heart valve.

Uyaina, 26, berkata, dia dimaklumkan penyakit itu ketika mendapatkan rawatan pada 11 Mac lalu selepas pengsan di rumah.

"Ketika pemeriksaan di klinik degupan jantung saya lebih 200 denyutan per minit. Kemudian ketika pulang ke rumah tubuh badan pucat dan berpeluh secara tiba-tiba sebelum pengsan.

"Saya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan saya mengalami komplikasi jantung yang agak serius. Memang terkejut dan tidak menjangka sama sekali.

"Apatah lagi sebelum ini tiada sebarang tanda ke arah penyakit ini sebab saya jenis aktif. Namun arwah datuk sebelah mak meninggal disebabkan penyakit jantung. Saya sedih dan fikir soal mati saja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Uyaina yang juga pengacara Wanita Hari Ini, dia perlu menjalani rawatan susulan secara berkala sebulan sekali.

"Doktor memberi dua pilihan iaitu mengambil ubat atau menjalani pembedahan.

"Buat masa sekarang, saya masih mendapatkan pandangan mana yang terbaik pada peringkat kesihatan sekarang. Doakan semoga semuanya okey," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:59 PM